KUALA LUMPUR 10 Jun – Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong hari ini mengingatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bahawa Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang baru dihantar semula oleh kerajaan negeri masih belum diluluskan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Sehubungan itu tegas beliau, ia tidak bermakna Ketua Menteri berkenaan boleh membuat pembelaan dengan panjang lebar sebelum Kementerian Alam Sekitar dan Air membuat keputusan berdasarkan tahap kerosakan yang bakal terjadi ke atas alam sekitar. 

Oh Tong Keong

 

Menurut Tong Keong, sebenarnya kerajaan negeri tidak perlu menambak laut, kerana masih banyak tanah di sebelah seberang (tanah besar) boleh dituntut dan digunakan untuk pembangunan. 

“Pada masa ini yang paling penting adalah EMP yang baru dihantar itu dapat diluluskan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air.

“Tanpa kelulusan kementerian itu, projek penambakan laut itu turut akan terbatal. 

“Kami dapati terdapat kelemahan dalam kenyataan media Ketua Menteri bagi menjawab balas permintaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membatalkan projek penambakan itu,” katanya. 

Menjelaskan lebih lanjut, beliau mempersoalkan mengapakah kerajaan negeri mesti menjalankan projek penambakan sedangkan masih terdapat banyak tanah di sebelah seberang?

“Bukankah lebih baik untuk menyeimbangkan pembangunan di bahagian pulau dan seberang? 

“Mengapakah perlunya peletakan peranti pengumpulan ikan dan penanaman pokok bakau sekiranya projek itu tidak akan merosakkan ekosistem perairan laut? 

“Kenyataan itu menyatakan bahawa ruang terbuka awam luas, pantai awam dan esplanade tepi laut akan disediakan di atas pulau buatan itu untuk tujuan rekreasi. Padahal, Pulau Pinang sudah dilengkapi pantai peranginan. Kerajaan negeri harus mempromosi kawasan alam semula jadi ini melalui pakej ekopelancongan dan bukannya menyediakan kemudahan ini melalui projek penambakan. Mengapakah kerajaan negeri membuat perancangan sedemikian?” katanya. 

Beliau berkata, Gerakan tidak membantah sebarang projek pembangunan, tetapi projek penambakan ini bakal mendatangkan impak yang besar ke atas alam sekitar. 

“Ini adalah sebabnya banyak pihak membantah pelaksanaan projek ini . Mengapakah pihak kerajaan negeri terus berdegil untuk melaksanakan projek ini sungguhpun banyak pihak telah buat bantahan besar?” katanya.