KOTA MELAKA 12 Jun – Bantuan prihatin rakyat disediakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk Pakej Bantuan Perlindunggan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) melibatkan semua kaum tanpa mengira perbezaan fahaman politik turut diberikan kepada masyarakat Cina.

Ini terbukti apabila kalangan masyarakat Cina dalam Parlimen Kota Melaka menerima bantuan tersebut yang disampaikan oleh Ketua BERSATU Bahagian Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim dari rumah ke rumah dengan mematuhi SOP yang ketat.

Data terkini menunjukkan bahawa dari lebih 500 bakul makanan yang disampaikan untuk golongan yang layak dalam DUN Bandar Hilir sahaja, sebanyak 70 peratus adalah dari kalangan kaum Cina.

Seorang penerima, Lye Ah Yoke, 83, begitu ceria dan teruja apabila menerima kunjungan ringkas Hishamuddin yang tiba-tiba muncul di hadapan rumahnya.

Ah Yoke tidak pernah terfikir apabila ada wakil PN akan datang mencari rumahnya semata-mata mahu menyerahkan bakul makanan.

“Saya amat gembira, terima kasih PM, terima kasih PN. 

“Memang bantuan ini yang saya tunggu-tunggu kerana PKP ini tidak boleh keluar rumah. Hendak beli barang makanan pun susah.

“Tapi mujurlah ada bantuan dari PM dan PN,” katanya tanpa henti-henti mengucapkan terima kasih.

Seorang lagi penerima, Teo Choon Seong, 59, seorang bekas jurutera pula berkata, dia amat menghargai sumbangan bakul makanan itu.

“Orang beri kita patut berterima kasih. Tidak kira kecil atau besar tapi sumbangan ini menunjukkan tanda prihatin kerajaan kepada rakyat.

“Bakul makanan ini amat berharga pada saya dan keluarga,” katanya yang tinggal di Taman Laksamana Cheng Ho dan sudah lima tahun tidak bekerja setelah diserang angin ahmar.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihaknya akan bergerak dari satu kawasan ke kawasan dengan kebenaran dan nasihat polis serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menyampaikan bantuan prihatin rakyat.

“Rakyat tidak dapat datang mengambil bantuan itu, maka kami bertanggungjawab mencari siapa yang layak serta menyampaikannya,” katanya.