Saya menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang meminta kerajaan untuk menetapkan tarikh tutup pendaftaran mendapatkan suntikan vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Cadangan Datuk Wan Saiful dalam menetapkan tarikh tutup pendaftaran itu diharapkan dapat mewujudkan ‘sense of urgency’ (kepekaan untuk bertindak segera) di kalangan rakyat.

Sehubungan dengan itu, saya juga ingin menambahkan beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan bagi meningkatkan lagi kadar pendaftaran sebelum tarikh tutup yang dicadangkan. Antaranya ialah dengan mengenakan insentif negatif bagi sebarang permohonan suntikan vaksin setelah tarikh tutup pendaftaran yang telah ditetapkan tersebut. 

Contoh insentif negatif ini ialah sebarang permohonan suntikan vaksin setelah tarikh tutup akan dikenakan penalti tertentu dalam bentuk sekatan pergerakan kepada mereka yang gagal mendaftar dalam tempoh yang ditetapkan. Ini termasuk larangan memasuki tempat umum atau menjalankan perniagaan terutamanya yang melibatkan hubungan langsung dengan orang ramai seperti operator kedai makan dan perniagaan perkhidmatan lain. Penalti juga boleh dilakukan dengan lebih meluas iaitu dalam bentuk sekatan perjalanan merentas daerah, negeri atau ke luar negara bagi golongan ini setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan dengan beransur-ansur kelak.

Walaupun langkah-langkah ini mungkin saja dikritik oleh sesetengah pihak sebagai menekan rakyat, namun dalam keadaan yang mendesak ini, ia mungkin pilihan yang lebih baik dalam usaha untuk meningkatkan bilangan pendaftaran dan pengambilan vaksin dikalangan rakyat. Sekiranya ada yang bertanya kenapa tidak diberikan insentif positif untuk menggalakkan pendaftaran, saya melihat ianya tidak adil kepada mereka yang telah mendaftar awal dan menjadi warganegara yang bertanggungjawab. Ianya juga mengambilkira pelbagai program kesedaran yang telah dijalankan selama ini, namun tetap dipandang sepi oleh golongan ini.

Saya menyeru kerajaan mengambil serius pandangan-pandangan yang dilontarkan ini agar ianya dapat dipertimbangkan dan seterusnya membantu mencapai objektif Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan demi untuk kebaikan kita bersama.

Azalina Abdul Rahman

Ketua Wanita Perikatan Nasional Negeri Melaka