KOTA MELAKA 14 Jun – Bertugas demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat walaupun ketegasan yang diambil sentiasa menerima kecaman serta cemuhan orang ramai yang langsung tidak memahami tugas anggota polis.

Jika dahulu anggota-anggota Balai Polis Kandang apabila menjalankan rondaan masih boleh berehat seketika di tempat awam termasuk membeli makanan dan minuman, namun sejak pelaksanaan PKP ini mereka yang turut mematuhi SOP hanya boleh berehat setelah pulang ke balai atau rumah masing-masing.

Tugasan penuh berdisiplin ini sering tidak ketahui orang ramai kerana ia menjadi prinsip anggota-anggota berkenaan untuk tidak merungut.

Memandangkan rutin tugasan anggota-anggota berkenaan yang bertugas 24 jam, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Melaka mengambil inisiatif untuk menyantuni 16 anggota polis di Balai Polis Kandang.

BERSATU Kota Melaka yang diketuai Ketua Bahagiannya, Datuk Hishamuddin Abdul Karim telah menyerahkan bakul prihatin PERMAI hasil sumbangan kerajaan persekutuan.

Bakul prihatin PERMAI itu antara lain mengandungi beras, tepung, gula dan sebagainya bagi keluarga anggota-anggota di Balai Polis Kandang.

“Orang ramai tidak sedar tugas serta peranan anggota-anggota polis ini. Dulu sebelum PKP kita boleh lihat ada anggota polis yang setelah penat meronda dan menjalankan tugas, berhenti sejenak untuk minum atau makanan setelah mereka mendapat kebenaran daripada bilik gerakan.

“Tapi kini mereka bertugas dan meronda tanpa berhenti untuk minum seketika. Mereka hanya berbuat demikian setelah pulang ke balai atau rumah iaitu setelah tamat bertugas.

“BERSATU Kota Melaka terpanggil untuk menyantuni anggota-anggota barisan hadapan ini. Mereka terus bertugas walaupun berhadapan pelbagai halangan mahupun cemuhan masyarakat,” katanya.

Hishamuddin menyerahkan bakul prihatin PERMAI itu kepada Ketua Balai Kandang, Sarjan Mejar Abdul Aziz Muhamad.