PETALING JAYA 14 Jun – Sikap Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mengabai dan membantah tuntutan rakyat negeri ini terhadap Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR), amatlah dikesali. 

Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, Kon Yeow seolah-olah berpendapat bahawa rakyat Pulau Pinang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah golongan yang tidak berpandangan jauh.

“Adakah Kon Yeow berpendapat petisyen online yang ditandatangani seramai 120,000 orang kerana membantah PSR itu adalah perbuatan yang salah? 

“Adakah Ketua Menteri itu berpendapat hanya tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang yang keras mahu melaksanakan projek itu sahaja yang betul?” soal Tong Keong yang juga merupakan Timbalan Presiden Gerakan.

Jelasnya Tong Keong, NGO di Pulau Pinang mempunyai profesiolisme yang bertaraf antarabangsa dengan ahli mereka terdiri daripada para pakar dalam bidang tertentu dan ahli akademik.

Sehubungan itu, katanya, adalah mustahil pandangan mereka terhadap pembangunan masa depan Pulau Pinang itu salah kesemuanya. 

Tambahan lagi, kata beliau, dengan kepakaran dan pengetahuan NGO itu tidak mungkin mereka tidak tahu bagaimana menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang lebih baik.

“NGO-NGO di negeri Pulau Pinang menyatakan aktiviti tambakan laut akan memusnahkan alam sekitar dan membebankan kewangan negeri Pulau Pinang berdasarkan penyelidikan yang dijalankan mereka bertahun-tahun lalu.

“Mereka berpendapat bahawa PSR tidak akan menguntungkan negeri Pulau Pinang pada masa depan. Maka, kami tidak faham mengapakah kerajaan negeri enggan mendengar pandangan dan nasihat pakar-pakar dari NGO?” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada zaman pentadbiran Gerakan di Pulau Pinang, kerajaan negeri mendengar pandangan pakar-pakar dari NGO.

“Ini kerana gerakan menghormati dan setuju dengan kepakaran serta pandangan jauh mereka.

“Namun, kerajaan PH Pulau Pinang kini langsung tidak menghormati pakar-pakar dari NGO, malah mendakwa NGO-NGO ini tidak berpandangan jauh,” katanya. 

Kon Yeow sebelum dalam kenyataanya berkata, tanpa PSR, Pulau Pinang akan kehilangan peluang untuk membangun serta menwujudkan pekerjaan untuk rakyat dan generasi akan datang.

“Ini satu kenyataan yang tidak masuk akal. Adakah beliau ingin membawa mesej bahawa tanpa PSR, tidak ada lagi peluang pekerjaan di negeri Pulau Pinang? Tanpa PSR, Pulau Pinang tidak ada lagi masa depan?” katanya.