Menyorot kisah lima tahun lalu, hari ini genap lima tahun Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat sebagai Timbalan Presiden UMNO yang diumumkan oleh Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Jun 2016.

Najib memberitahu, pemecatan Muhyiddin kerana melakukan kesalahan serius dan pemecatan dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Tertinggi UMNO.

Ketika dipecat Muhyiddin ketika itu juga merupakan Timbalan Perdana Menteri iaitu orang nombor dua dalam negara.

Namun, pemecatan atas alasan melakukan kesalahan serius menimbulkan persoalan kerana Muhyiddin hanya mempersoalkan isu 1MDB.

Pada masa itu, rakyat mungkin tidak mengetahui perincian sebenar isu 1MDB. Tetapi kini setelah beberapa tahun, isu berkenaan sedang dibicarakan pula dalam mahkamah. 

Timbul persoalan apakah sebenarnya menyebabkan Muhyiddin dipecat? Betulkah beliau melakukan kesalahan serius seperti didakwa oleh Najib? Atau apakah tindakan Muhyiddin mempersoalkan isu 1MDB yang kini dibicarakan dalam mahkamah menyebabkan beliau dipecat.

Apa pun sebabnya, rakyat amat mengetahui dan dapat menilai kebenaran sebenar.

Ketika dipecat, ada kalangan yang berpendapat ketika itu karier politik Muhyiddin akan hancur dan tidak mampu naik semula.

Namun, pengalaman beliau dalam politik tanah air menjadikan Muhyiddin lebih tabah dalam menuntut keadilan serta kebenaran demi rakyat.

Tiada siapa dapat menjangka, kini Muhyiddin berjaya memegang jawatan Perdana Menteri iaitu orang nombor satu ketika negara dan seluruh dunia sedang ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19.

Memang jawatan nombor satu negara ketika pelbagai masalah timbul bukanlah sesuatu yang menyeronokkan sebaliknya ia lebih kepada tanggungjawab dan bebanan untuk membela rakyat yang dalam kesusahan.

Kerana prihatin beliau terhadap rakyat yang dalam kesusahan dengan sikap tidak menyerang mana-mana ahli politik walaupun diri sendiri setiap saat diserang, rakyat bukan sahaja menerima Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, malah menggelar beliau dengan panggilan ‘Abah’.

Pengertian ‘Abah’ banyak membawa makna termasuklah peranan seorang bapa dalam menjaga keluarganya (negara) termasuk anak-anak (rakyat).

Iaitu peranan seorang bapa yang mahu memastikan keluarga dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik termasuk mendapat pendidikan, tempat tinggal, pendapatan, makan minum dan sebagainya.

Lebih besar lagi peranan seorang bapa iaitu memastikan keselamatan ahli keluarganya (seluruh rakyat) ketika keadaan sekeliling tidak selamat berikutan pandemik Covid-19..

Atas dasar itulah rakyat tanpa mengira kaum mengelar Muhyiddin dengan panggil ‘Abah’.

Semoga dengan doa rakyat demi kesejahteraan terus mengiringi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). 

 

DATUK HISHAMUDDIN ABDUL KARIM

Ketua Penerangan Negeri Melaka merangkap Ketua Penerangan Negeri Melaka merangkap Setiausaha Biro Penerangan BERSATU Malaysia