PETALING JAYA 24 Jun – Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong menyatakan rasa lega dan gembira dengan keputusan UMNO yang bersetuju untuk tidak menyokong sebarang usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan pada Persidangan Parlimen. 

Beliau berkata, langkah tersebut dilihat dapat meredakan keadaan dengan situasi negara yang sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Jelas Tong Keong, sekiranya pergolakan politik negara berterusan, ia akan hanya menjahanamkan lagi situasi pandemik Covid-19 di negara ini yang masih tidak stabil. 

“Dengan persetujuan Ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk tidak menyokong sebarang usul undi tidak percaya, ia dap ofat memberi manfaat besar kepada Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan oleh kerajaan.

“Seharusnya kita semua perlu memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19.

“Keadaan tersebut yang memperlihatkan kerjasama semua pihak dari kalangan ahli politik sudah pasti dapat meningkatkan lagi semangat perjuangan bersama dalam melawan pandemik ini,” katanya. 

Beliau seterusnya menyeru pemimpin dan wakil rakyat dari parti-parti lain dapat mencontohi Ahli Parlimen UMNO dan BN.

“Kita sama-sama mengetepikan perbezaan pendirian politik, memberi fokus dalam usaha menghentikan penularan Covid-19 dan membantu rakyat mengharungi kehidupan mereka yang terkesan dengan Covid-19. 

“Biar kita lawan Covid-19, bangunkan ekonomi negara dan pulihkan kehidupan rakyat dahulu, bincang politik kemudian. Seperti yang berlaku di Taiwan bahawa seluruh warga mereka bekerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk membanteras penularan Covid-19 tanpa mengambil kira latar belakang politik masing-masing.” katanya. 

Menjawab pertanyaan, beliau berkata: “Negara kita mengamalkan sistem demokrasi, sudah pastinya rakyat yang akan diberi kuasa untuk memilih pemimpin yang mereka ingini untuk memerintah dan memimpin negara ini melalui pilihan raya. 

“Maka, kita semua perlu fokus untuk menentang Covid-19 dulu, selepas negara kita pulih dari pandemik Covid-19, pilihan raya umum pasti akan diadakan, seperti mana yang dijanji dan dijamin oleh Perdana Menteri kita,” katanya.