SHAH ALAM  – Rakyat dinasihatkan supaya tidak terikut-ikut dengan isu dan desakan politik mengenai pembukaan Sidang Parlimen, sebaliknya diminta terus menumpukan kepada penjagaan diri serta keluarga dalam memutuskan rantaian Covid-19.

Malah, rakyat juga diminta memberi tumpuan dalam menjana semula pendapatan serta ekonomi yang terus diberi perhatian, sokongan serta bantuan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan.

“Tumpuan rakyat mestilah kepada untuk mendapatkan vaksin yang disediakan oleh kerana isu pandemik yang belum selesai.

“Soal Sidang Parlimen kita serahkan kepada kerajaan untuk menguruskannya dengan mengikut peraturan undang-undang dan perlembagaan,” kata Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, isu penjagaan kesihatan, pengambilan vaksin dan memutuskan rantaian Covid-19 perlu diberi keutamaan kerana kegagalan berbuat demikian rakyat juga yang akan menerima kesan negative.

Menurutnya, begitu juga dengan pakej rangsangan, dan dan sebagainya yang diperkenalkan oleh kerajaan, sepatutnya direbut serta diambil kesempatan oleh rakyat.

“Dua perkara ini penting, kesihatan dan ekonomi, bagi membolehkan rakyat bangkit semula.

“Saya tidak katakana Sidang Parlimen kurang penting, sebaliknya mahu rakyat tumpukan dan beri keutamaan kepada penjagaaan kesihatan dan ekonomi supaya kita dapat bangkit dan pulih sepenuhnya,” katanya.

Menjawab pertanyaan, beliau berkata, sebagai ahli politik, pihak-pihak terbabit sepatutnya bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan dalam menyelesaikan pelbagai isu rakyat.

“Rakyat sedang melihat setiap tingkah laku ahli-ahli politik sama ada mahu menyelesaikan masalah rakyat atau lebih kepada kepentingan politik peribadi,” katanya.