KUALA LUMPUR 27 Jun – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yakin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan pakej bantuan baharu yang lebih memberangsangkan demi kepentingan rakyat.

 

Ketua Perangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keyakinan itu berdasarkan Perdana Menteri telah memberi indikasi awal mengenainya dan ia juga menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa mendengar suara rakyat.

Jelasnya, BERSATU sendiri telah menyampaikan pelbagai cadangan melalui saluran dalaman parti terus kepada Perdana Menteri.

“Pelbagai cadangan melibatkan pelbagai kepentingan rakyat termasuk ekonomi telah disalurkan dan saya berharap ia akan dilaksanakan.

“Antara cadangan yang disalurkan termasuk moratorium pinjaman dilanjutkan dan diperluaskan, pemberian bantuan tunai, pembelaan terhadap peniaga kecil, usahawan, subsidi upah dan bantuan tunai serta banyak lagi.

“Pandangan serta cadangan yang kita salurkan itu juga melibatkan pandangan pemimpin masyarakat dan akar umbi,” katanya.

Wan Saiful berkata, beliau yakin melalui pakej baharu yang diumumkan nanti akan mengambil kira idea-idea yang telah disuarakan itu. Sehubungan itu, kata beliau, kepada penggerak parti semua peringkat, diharap akan terus menjadi saluran penting untuk menyampaikan permintaan dan cadangan rakyat kepada pucuk pimpinan parti dan juga kerajaan. 

“Kita kumpulkan dan salurkan melalui saluran sesuai idea-idea yang disuarakan rakyat sebagai bukti komitmen berterusan kita membantu rakyat. Penggerak-penggerak BERSATU mesti terus menjadi ejen penyelesai cabaran hidup rakyat,” katanya.