KUALA LUMPUR 28 Jun – Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai bantuan dan pelan rangsangan yang mengutamakan rakyat jelata.

 

PEMULIH juga memperlihatkan tanda prihatin kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam membantu rakyat dan bagi menyelesaikan segala permasalahan dihadapi rakyat.

 

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai pakej PEMULIH.

 

“PEMULIH menunjukkan tanda prihatin kerajaan terhadap nasib dialami rakyat negara ini,” katanya.

 

Untuk itu kata beliau, usaha gigih kini dilihat berterusan dilakukan kerajaan PN bagi mencapai pelan pemulihan negara berikutan terkesan dengan pandemik Covid-19.

 

“Antara kandungan pakej PEMULIH yang membuktikan kerajaan amat prihatin dengan rakyat ialah meningkatkan vaksinasi.

 

“Menjadi harapan kerajaan kadar jangkitan dapat terus dikurangkan dan secara langsung ia dapat meminimumkan bilangan penggunaan katil di ICU.

 

“Pas yakin dengan pengumumkan PEMULIH yang dapat membantu dan membela rakyat serta ekonomi,” katanya.