KUALA LUMPUR 29 Jun – Mendengar keluhan rakyat serta memahami kehendak rakyat adalah pengisian dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kerajaan juga dilihat tidak mengetepikan kesan psikologi, tekanan mental dan emosi yang melanda rakyat.

 

Beliau berkata, ia dapat dilihat melalui Bantuan Talian Kasih dan psiko-sosial yang diperuntukkan melalui NGO untuk menangani isu-isu in.

 

Sehubungan itu katanya, PEMULIH dilihat sebagai penyelesaian kepada segala permasalahan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

 

Menurut beliau, keprihatinan Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu dibuktikan dengan pakej PEMULIH agar rakyat dan negara ini dapat terus bangkit.

 

Sehubungan itu, kata Rina, Srikandi menyambut baik pakej PEMULIH yang diumumkan oleh Perdana Menteri kerana ia memberi fokus kepada membantu dan menyelesaikan masalah rakyat serta ekonomi negara.

 

“Ini adalah rentetan dari suara rakyat yang mengadu permasalahan mereka. 

 

“Perdana Menteri bukan sahaja mendengar, malah memahami keperluan rakyat sebab itu pakej PEMULIH diumumkan sebagai kesinambungan kepada pakej-pakej lain yang telah diperkenalkan kerajaan PN sebelum ini,” katanya.

 

Beliau berkata, melalui PEMULIH antara perkara utama yang dibangkitkan oleh rakyat telah dipenuhi oleh kerajaan.

 

“Ini termasuk moratorium, bantuan untuk B40, M40, usahawan mikro, mereka yang hilang pendapatan serta pekerjaan dan banyak lagi.

 

“Pakej PEMULIH bukan sahaja memberangsangkan, malah menarik serta memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

 

Di samping itu kata Rina, Srikandi bersedia memainkan peranan yang aktif dalam membantu kerajaan dari segi menyediakan khidmat psiko-sosial, latihan perniagaan dalam talian, gerak kerja kemasyarakatan dan banyak lagi.