KUANTAN 30 Jun – Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan oleh kerajaan perlu melibatkan penambahbaikan keperluan dalam sektor pelancongan domestik.

Para pengusaha pelancongan mahu kerajaan sekurang-kurangnya membenarkan semula operasi sebahagian daripada sektor berkenaan dengan SOP yang lebih ketat agar penularan Covid-19 dapat terus disekat.

Pada masa sama, rentas negeri juga dibenarkan seperti sebelum ini yang melibatkan hanya perjalanan dikendalikan oleh ejen-ejen pelancongan berdaftar untuk membawa pelancong.

Malah, bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan, kerajaan juga boleh menggenakan syarat tambahan bahawa orang ramai yang hendak melancong dalam negara perlu membuktikan bahawa mereka telah menerima suntikan vaksin yang lengkap (dua dos).

 

Syed Rizalman Syed Abu Bakar, Pengarah Urusan Damai Tioman Resort.

Cadangan ini disuarakan oleh Pengarah Urusan Damai Tioman Resort, Syed Rizalman Syed Abu Bakar yang sangat terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, sejak Oktober tahun lalu, tiada pelancong yang datang ke tempatnya menyebabkan beliau terpaksa menanggung kerugian amat besar.

“Saya dan pengusaha pelancong yang lain alami kerugian besar kerana tiada pelancong datang ke tempat kami.

“Jika sebelum ini kerajaan ada membenarkan aktiviti pelancongan hanya menggunakan ejen, namun selepas itu langkah berkenaan dihentikan.

“Harapan kami, pakej PEMULIH juga melibatkan rangsangan sektor pelancongan domestik,” katanya.

Di samping itu kata Syed Rizalman, kerajaan negeri pula perlu memikirkan langkah memberi pengecualian cukai taksiran kerana ramai pengusaha pelancongan tidak mampu menjelaskannya kerana tiada pendapatan diperolehi lebih setahun lalu.

“Begitu juga lesen perniagaan yang melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), pengecualian harus diberkan kepada kami,” katanya.

Seorang pengusaha pelancongan di Kuantan, Izudin Muhamad Amin berkata, kerajaan diminta membantu para pengusaha pelancongan yang memerlukan pinjaman bank untuk bangkit semula.

Jelasnya, sejak PKP, pendapatan pengusaha pelancongan amat berkurangan dan secara langsung pihak bank pula kurang yakin untuk meluluskan pinjaman kepada mereka. 

“Kami tidak salahkan pihak bank kerana bank tidak yakin bahawa kami boleh membayar balik pinjaman.

“Oleh itu, kerajaan harus memikirkan langkah yang lebih drastik dalam membantu pengusaha dan sektor pelancongan, bukan setakat moratorium automatik, malah dalam bentuk memberi pinjaman tanpa faedah,’’ katanya.