KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu bersedia menggerakkan rangkaiannya di seluruh negara bagi membantu rakyat mendapatkan manfaat daripada Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan hari ini.

Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, langkah-langkah yang diumumkan menerusi Pemulih amat kritikal untuk mengekalkan kecairan dalam ekonomi di akar umbi, di samping memelihara asas ekonomi daripada risiko keruntuhan.

Menurut beliau, ia juga adalah sebagai persediaan untuk memacu fasa pemulihan apabila ekonomi dibuka secara beransur kelak.

“Untuk menyokong Pemulih, rangkaian Armada di seluruh Malaysia sedia mainkan peranan melalui program #ArmadaPrihatin dan usaha sama dengan rakan sayap pemuda Perikatan Nasional untuk membantu rakyat khususnya peniaga kecil-kecilan dan perusahaan kecil dan sederhana mikro (PKS mikro) bagi mendapatkan manfaat daripada program-program yang ditawarkan,” katanya yang juga Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional dalam kenyataan pada Isnin.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, Armada amat bersyukur kerana dua isu yang diangkat kepada kerajaan telah diterima baik dan diintegrasikan sebagai sebahagian daripada pakej berkenaan iaitu moratorium automatik sehingga hujung tahun serta pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mereka yang layak.

Menurut kenyataan itu, Armada turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas keprihatinan terhadap keluh kesah rakyat dan mendengar pandangan yang diutarakan sepanjang beberapa libat urus.

Muhyiddin hari ini mengumumkan Pemulih berjumlah RM150 bilion yang merupakan kesinambungan daripada tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional sejak pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun lepas. – Bernama