BINTULU 1 Jun – Meredah perjalanan darat selama empat jam diikuti menaiki bot selama satu jam setengah sebelum dapat sampai ke Naga Marak, namun semuja itu tidak pernah merisau atau memenatkan ahli-ahli BERSATU Bahagian Bintulu demi membantu 22 keluarga rumah panjang.

Sebanyak 16 ahli BERSATU bahagian bersama Kelab Kebajikan Komuniti Luar Bandar menjalankan program tanggungjawab sosial melibatkan kerja-kerja membaiki rumah dan jeti penduduk di situ.

Malah, program selama seminggu itu turut melibatkan penghantaran barangan membaiki rumah melibatkan siling, dinding, bumbung dan banyak lagi.

Ketua BERSATU Bahagian Bintulu, Duke Janteng memberitahu, program itu pada asalnya bermula dua bulan lalu dengan perbicangan dan rentetan dari situ diikuti penghantaran barangan membaiki rumah serta kerja-kerja sukarelawan.

Beliau berkata, barangan membaiki rumah itu disumbang oleh Kelab Kebajikan Komuniti Luar Bandar.

 

“Kerja-kerja komuniti itu melibatkan rumah panjang di kawasan Nanga Marak, Binya, Sebauh dalam DUN Kemena.

“Ia bagi kemudahan lebih 80 orang penduduk dari 22 keluarga.

“Perjalanan kami bermula dari Bintulu ke jeti Sekolah Kebangsaan Bukit Mawang yang mengambil masa empat jam diikuti menggunakan bot selama satu jam setengah sebelum tiba ke rumah panjang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, gotong-royong membaiki rumah panjang dan jeti itu turut disertai penduduk terbabit.

“Penduduk rumah panjang berpuas hati dengan program berkenaan dan berterima kasih kepada BERSATU Bahagian dan Kelab Kebajikan Komuniti Luar Bandar,” katanya.