PULAU PINANG 2 Julai – Kerajaan Pusat dan negeri serta Ahli Parlimen dan ADUN termasuk pembangkang harus mengambil berat kehidupan rakyat yang semakin terhimpit susulan daripada penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

 

Timbalan Presiden Gerakan merangkap Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, akhir-ahkir ini kesukaran hidup rakyat masih berlaku dan ini dinyatakan melalui pelbagai cara.

 

Jelasnya, apa yang dinyatakan oleh rakyat itu seperti mengkibarkan bendera putih dan sebagainya, secara langsung memerlukan setiap Ahli Parlimen serta ADUN turun membantu rakyat.

 

“Keadaan Covid-19 di negara kita masih serius setelah perintah penutupan penuh dilanjutkan.

 

“Semua Ahli Parlimen termasuk wakil rakyat pembangkang diberi RM300,000 oleh kerajaan Pusat supaya mereka dapat gunakan untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

 

Di samping itu kata beliau, langkah membantu rakyat oleh wakil rakyat itu perlu disegerakan kerana ramai yang terkesan akibat Covid-19.

 

“Ada yang hilang pendapatan, hilang pekerjaan, tidak dapat berniaga dan sebagai. Akibatnya rakyat rasa tertekan dari segi kewangan mahupun psikologi, sehingga ada antara mereka terfikir untuk membunuh diri,” katanya.  

 

Sehubungan itu katanya, semua wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen pembangkang seharusnya memberi fokus dalam isu ini dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

 

“Saya berharap Ahli Parlimen turun padang, melawat dan memahami kesukaran serta masalah yang dihadapi penduduk di kawasan mereka. Pada masa sama hulurkanlah bantuan dengan segera, jangan biar masalah berlarutan.

 

“Saya juga ingin mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya menggunakan peruntukan dari kerajaan Pusat sebanyak RM300,000 dengan bijak untuk membantu rakyat mengatasi masalah kehidupan mereka, dan memastikan tiada sesiapa pun yang tertinggal,” katanya.