KUALA LUMPUR 5 Julai – Penerangan Srikandi dalam usaha meningkatkan lagi keberkesanannya untuk mendekatkan diri dengan pengundi serta rakyat melalui pelaksanaan tiga prinsip utama iaitu efektif, efisien dan proaktif.

 

Ketua Penerangan Srikandi, Mastura Mohamad Darby memberitahu, melalui tiga prinsip itu Srikandi akan bergerak bermula dari pihak atasan dan turun ke bawah.

 

Jelasnya, Srikandi juga kini tidak lagi perlu tunggu tetapi sebaliknya sudah mengetahui tugasan masing-masing serta hala tuju yang perlu dilakukan.

 

“Srikandi juga perlu proaktif dengan mencari serta menyertai kumpulan-kumpulan yang lebih besar untuk mendapatkan maklumat.

 

“Dengan langkah ini kita bukan sahaja dapat menyantuni rakyat, malah memperolehi kehendak akar umbi,” katanya.

 

Di samping itu kata beliau, ahli-ahli Srikandi juga perlu menukar minda mereka untuk mendekatkan diri dengan rakyat.

 

Menurutnya, Srikandi perlu memainkan peranan dengan memberitahu rakyat bahawa setiap bantuan yang diberikan oleh kerajaan itu amat berharga.

 

“Kita mahu rakyat menjiwai setiap bantuan yang diterima agar mereka memahami serta menghargai” katanya.