KUALA LUMPUR 6 Julai – Pas Ampang hari ini menempelak tindakan Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk merentas PKPD, merentas daerah, merentas negeri dan juga merentas undang-undang semata-mata mahu ke Raub, Pahang.

 

Ronnie sebagai pemimpin politik juga diingatkan supaya bersikap menghormati para penjawat awam yang menjalankan tugas.

 

Dalam pada itu, yang menghairankan bagaimana Ronnie boleh melepasi sekatan-sekatan pihak berkuasa sehingga dia boleh merentas negeri hingga ke Pahang.

 

Yang Dipertua Pas Kawasan Ampang, Khasim Abdul Aziz berkata, sebagai ahli politik dan juga sebahagian daripada pembuat dasar, Ronnie seharusnya tahu peraturan dan undang-undang.

 

Menurutnya, Ronnie juga perlu menjadi contoh kepada rakyat dengan mematuhi undang-undang dan bukan melanggarnya.

 

“Apabila dia ke Raub, Ronnie bukan sahaja melanggar peraturan dengan merentas negeri, malah merentas PKPD, merentas daerah dan yang lebih besar merentas undang-undang.

 

“Dia patut menjadi contoh yang baik kepada rakyat.

 

“Saya juga hairan bagaimana Ronnie boleh melepasi segala sekatan pihak berkuasa dari Selangor untuk ke Raub, Pahang,’ katanya.

 

Beliau seterusnya meminta pihak berkuasa menyiasat secara terperinci bagaimana Ronnie boleh merentas PKPD, daerah dan negeri untuk ke Raub.

 

Khasim juga menggesa tindakan tegas diambil ke atas Ronnie jika pemimpin DAP itu jelas melakukan kesalahan agar dapat dijadikan pengajaran kepada orang lain.

 

“Jika rakyat biasa boleh mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan, kita sebagai ahli politik juga perlu berbuat demikian dan menjadi contoh kepada rakyat,” katanya.