KUALA LUMPUR 8 Julai – Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) yakin pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri merupakan langkah bijak dan strategik.

 

President PINTAR, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, pelantikan itu dapat memperkukuhkan kerajaan persekutuan.

 

“PINTAR merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia di atas inisiatif yang diusahakan Perdana Menteri untuk melantik  Ismail Sabri dan Hishammuddin.

 

“Pelantikan ini dilihat sebagai satu langkah bijak dan berstrategi.

 

‘ Yang pasti ia akan dapat memperkukuhkan pentadbiran kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Perikatan Nasional,” katanya. 

 

Di samping itu, PINTAR juga yakin bahawa langkah ini dapat memperkukuhkan  perpaduan dan semangat kerjasama rakyat Malaysia ketika semua pihak masih berusaha menangani pandemik Covid-19 dan kesannya kepada kehidupan rakyat. 

 

“Pelantikan ini merupakan suatu perkara yang pastinya dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia setelah melihat pelbagai isu politik dibangkitkan oleh rakyat, termasuklah mengenai keutuhan kerajaan yang ada.

 

“Pengumuman ini melegakan dan sudah tentu sedikit sebanyak dapat membantu mewujudkan kestabilan politik dalam negara,” katanya.

 

Dalam masa  sama, beliau berkata, ketika sebahagian ahli politik ghairah melihat Sidang Parlimen hujung Julai nanti, suka dinasihatkan agar jadikan sidang tersebut sebagai peluang untuk membantu rakyat.

 

“Anggota Parlimen diminta fokus kepada agenda kebajikan rakyat dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19 dan bagaimana Pelan Pemulihan Negara dapat dilaksanakan dengan baik, bukannya agenda lain yang boleh menambah kerunsingan rakyat. 

 

“Berilah hak rakyat untuk rasa aman dan bebas daripada ancaman kelaparan, bukan untuk terus berdepan dengan politik yang tidak berkesudahan hanya menginginkan tampuk pemerintahan sahaja.

 

” Biar rakyat menggunakan hak mereka dalam PRU ke-15 pada masa yang sesuai,” katanya.