KUALA LUMPUR 9 Julai – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak ada masalah dengan UMNO kerana musuh utama BERSATU ialah Pakatan Harapan (PHJ).

Bagaimanapun BERSATU mengakui yang menimbulkan masalah pada masa ini ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah, dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri turut mengakui Ahmad Zahid dan Najib turut menimbulkan masalah kepada UMNO.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, BERSATU tidak menolak kemungkinan tindakan Ahmad Zahid dan Najib yang sering menimbulkan itu disebabkan kegagalan mereka memujuk Perdana Menteri supaya campur tangan urusan mahkamah yang sedang mereka hadapi.

“Ahmad Zahid dan Najib gagal memujuk Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mencampuri urusan mahkamah yang mereka sedang hadapi.

“Perdana Menteri tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah kerana itu prinsip Perdana Menteri.

“Kerana gagal memujuk Perdana Menteri, mereka sering menimbulkan pelbagai masalah kepada kerajaan,” katanya.

Wan Saiful berkata demikian pada sidang video Taklimat Isu-isu Semasa bersama Ketua-ketua Bahagian, Ketua Penerangan Bahagian, Ketua Penerangan Srikandi dan Ketua Penerangan Armada Negeri Pahang. Lebih 40 peserta terlibat dalam sidang video berkenaan.

Sidang video malam ini turut disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan dikendalikan oleh Setiausaha Biro Penerangan BERSATU, Datuk Hishamuddin Abdul Karim.

Sebelum ini taklimat yang sama telah dijalankan melibatkan Negeri Terengganu dan Kelantan.

Wan Saiful seterusnya sekali lagi menekankan kepada ahli-ahli BERSATU bahawa musuh utama parti adalah PH.

Beliau juga mengingatkan ahli-ahli bahawa BERSATU merupakan parti yang berteraskan Melayu Islam.

“Dalam hal ini BERSATU sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politk asalkan parti-parti berkenaan dapat menerima prinsip utama antaranya integriti, antirasuah, penyatuan, perpaduan dan sebagainya,” katanya.

Menjawab pertanyaan, Wan Saiful berkata, peranan ketua-ketua penerangan ialah mendekati rakyat dan menjelaskan isu-isu semasa mengenari parti dan negara agar rakyat mendapat maklumat yang tepat.

“Ini termasuk isu vaksinasi, kerajaan prihatin, pakej-pakej rangsangan yang diperkenalkan Perdana Menteri seperti PEMULIH dan banyak lagi,” katanya

Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat pada masa ini sudah meluat dengan perkembangan politik semasa yang tidak sudah-sudah dengan perebutan kuasa dan sebagainya.

“Rakyat meluat apabila ahli politik terus bermain politik. Rakyat mahu mereka diibantu dan dibela,” katanya.