CHUKAI 10 Julai – Sebanyak 150 ekor ayam segar dan 150 botol minyak masak diagihkan kepada penduduk Kampung Air Putih oleh BERSATU Bahagian Kemaman dan Pas DUN Kawasan Air Putih di sini.

Agihan itu dilakukan dari rumah ke rumah dengan pematuhan SOP serta dipantau oleh anggota polis.

Aktiviti mengagihkan ayam segar dan minyak masak itu merupakan anjuran Armada dan Srikandi bahagian serta mendapat kerjasama erat Pas.

Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Kemaman, Mohd. Noor Mat Ail memberitahu, pihaknya terpanggil mengagihkan ayam segar dan minyak masak kerana memahami keperitan serta keperluan hidup penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Semasa agihan rumah ke rumah itu, penduduk Kampung Air Putih memang terkejut bukan sahaja mendapat barangan keperluan harian, malah ADUN Kawasan Air Putih dari Pas, Razak Ibrahim turut bersama.

“Keitka itu, petugas BERSATU dan Pas turut memberi nasihat kepada penduduk agar mematuhi SOP. Anggota polis yang memantau aktiviti berkenaan tidak terkecuali memberikan nasihat kepada penduduk,” katanya.

Aktiviti agihan ayam dan minyak masak itu turut dihadiri Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Kemaman, Zawawi Ahmad, Naib Ketua Bahagian, Noorhishamj Mohamad dan Ketua Srikandi Bahagian, Rapia’ah Ngah.

Mohd. Noor berkata, BERSATU dan Pas kawasan akan meneruskan kerjasama membantu serta menyelesaikan pelbagai masalah penduduk di kawasan Kemaman.

“Kita bukan sahaja mengumpul maklumat mengenai masalah dan keperluan penduduk Kemaman, malah cuba menyelesaikannya kerana kita amat memahami kesusahan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Noor menggesa agar NGO-NGO turut bersama BERSATU dan Pas untuk terus membantu menyelesaikan isu-isu penduduk setempat.

“Ini bukan soal politik, tapi ini merupakan tanggungjawab bersama tanpa mengira perbezaan fahaman politik. Yang penting kita semua perlu membantu rakyat yang dalam kesusahan,” katanya.