KUALA LUMPUR 10 Julai – Ahli-ahli BERSATU di peringkat bahagian perlu mengambil sikap dan pendekatan berkawan dengan semua ahli akar umbi dari parti-parti lain.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, walaupun mengambil pendekatan tidak bermusuh, ahli-ahli BERSATU pada masa sama perlu bersikap tegas apabila ia membabitkan isu-isu tertentu seperti integriti, antirasuah dan sebagainya..

“Jika ada isu-isu besar yang berkaitan dengan pihak atasan atau kepemimpinan tertinggi parti-parti lain, kita biarkan kepemimpinan atasan BERSATU menyelesaikannya.

“Di peringkat akar umbi, kita BERSATU perlu mengambil sikap berkawan dengan semua ahli parti lain, namun dalam keadaan tertentu kita juga perlu bertegas dalam isu-isu tertentu.

“Pendekatan berkawan ini dapat menarik minat ahli akar umbi parti lain terhadap BERSATU.

“Dalam hal ini, ketua-ketua penerangan perlu memainkan peranan memberi penjelasan mengenai pendekatan ini kepada ahli-ahli BERSATU,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Taklimat Isu-isu Semasa melalui sidang video oleh Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan bersama Ketua Penerangan Bahagian, Ketua Penerangan Srikandi dan Ketua Penerangan Armada Negeri Johor.

Turut serta dalam taklimat berkenaan ialah Dato’ Dr. Sahruddin Jamal yang merupakan Setiausaha BERSATU Negeri Johor.

Taklimat itu diselaraskan oleh Setiausaha Biro Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Hishamuddin Abdul Karim.

Sebelum ini taklimat yang sama telah dijalankan melibatkan Penerangan BERSATU Terengganu, diikuti Kelantan dan Pahang.

Di samping itu, Wan Saiful berkata, ketua-ketua penerangan juga perlu meneruskan program dari semasa ke semasa termasuk isu politik dan juga yang melibatkan isu rakyat.

“Program semasa perlu terus berjalan dan ini merupakan antara peranan jentera penerangan.

“ Jika pada masa ini PKP, maka program boleh dijalankan melalui sidang video dan sebagainya. Begitu juga penyampaian bakul makanan, program perlu diteruskan,” katanya.