PORT DICKSON 11 Julai – Berpegang kepada konsep #Kerajaan Prihatin, BERSATU Bahagian Port Dickson dengan sokongan padu AJK Bahagian, Srikandi, Armada, ahli Bersekutu dan Pas bukan sahaja berjaya menyantuni penduduk, malah menyampaikan pelbagai bentuk bantuan kepada penduduk sebelum pelaksanaan PKP lagi.

Dalam masa beberapa bulan ini sahaja, lebih 500 bakul makanan berjaya diagihkan kepada penduduk sekitar Port Dickson yang terkesan akibat Covid-19.

Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Dato’ Mohd. Hanafi Mohd. Zain memberitahu, pihaknya bergerak dalam kumpulan-kumpulan kecil sebagai mematuhi SOP serta dipantau anggota polis ketika menyampaikan bantuan-bantuan berkenaan.

Jelasnya, setiap hari dan setiap minggu agihan bantuan itu diteruskan tanpa mengira masa kerana pihaknya sedar kesusahan penduduk selain keperluan harian mereka.

 “Petugas kita bergerak tanpa mengira masa. Selagi ada barangan untuk dihulurkan, kita akan terus menemui penduduk dan serahkannya dari rumah ke rumah.

“BERSATU Bahagian ini bergerak bersama ahli Pas, ahli Bersekutu dan NGO-NGO.

“Agihan bantuan ini perlu diteruskan kerana penduduk memang memerlukannya terutama yang melibatkan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkat, semasa penyerahan barangan itu juga, setiap petugas akan mendapatkan maklumat lanjut jika ada penduduk lain yang terkesan namun belum meperolehi bantuan.

“Kita kumpul maklumat dan data keperluan penduduk untuk memastikan tiada orang yang tercicir dari menerima bantuan,” katanya,.

Program agihan bantuan oleh BERSATU itu sering kali disertai oleh Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah, Dato’ Eddin Syazlee Shith dan mendapat sokong padu daripada Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Mohd. Hanafi berkata, agihan bantuan oleh BERSATU Bahagian Port Dickson turut diserahkan kepada golongan OKU, warga emas, ibu tunggal dan banyak lagi.

“Ramai golongan kurang bernasib baik yang terkesan akibat Covid-19, kerana itu petugas kita telah diarahkan supaya sentiasa turun padang bertemu penduduk dan bukan tunggu di pejabat untuk mendapat aduan,” katanya.