PULAU PINANG 11 Julai – Rakyat di negara ini semakin yakin dengan kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas dasar kesungguhan beliau menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat.

Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Balik Pulau, Kamarozaman Ahmad berkata, kepemimpinan Perdana Menteri itu terbukti dan menyerlah melalui pendekatan yang ditunjukkan dalam setiap dasar serta pendekatan yang diperkenalkan.

Menurutnya, walaupun pelbagai tuduhan mahu pun tohmahan dilemparkan kepada Muhyiddin, namun Perdana Menteri tidak membalasnya dan semua ini diperhatikan oleh rakyat.

“Atas dasar itu, dan cirri-ciri kepemimpinan Perdana Menteri yang terus menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat, menyakinkan lagi bahawa Muhyiddin adalah pilihan terbaik sebagai Perdana Menteri.

“Rakyat terus mengakui bahawa Muhyiddin adalah pilihan terbaik,” katanya.

Jelas beliau, antara pendekatan yang terbukti amat diterima rakyat ialah usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19 dengan peningkatan jumlah vaksin yang disediakan secara berterusan.

“Muhyiddin melihat kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat menjadi keutamaan. Pelbagai insentif bantuan dan pakej rangsangan berjumlah berbilion ringgit dikeluarkan untuk rakyat dan negara ketika berhadapan wabak Covid-19,” katanya.

Di samping itu, kata beliau, suatu pendekatan yang menjadi harapan rakyat apabila Muhyiddin mengambil pendekatan tidak melindungi mereka yang melakukan kesalahan terutama yang melibatkan kerosakan kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

“Ini berkaitan dengan integriti iaitu tidak sekali-kali campur tangan kes-kes mahkamah. Rakyat melihat keadilan yang dibawa Perdana Menteri tidak mengira kedudukan mahu pun fahaman politik,” katanya.