CHUKAI 12 Julai – “Memang ini yang makcik tunggu-tunggu sejak beberapa hari lalu.

“Mulanya hati makcik risau bekalan di rumah hampir kehabisan, tapi bila tengok anak (Srikandi) datang, makcik tahu ada orang yang prihatin dengan nasib makcik.”

Itulah kata-kata yang diluahkan oleh seorang wanita warga emas apabila dikunjungi oleh Srikandi Bahagian Kemaman ke rumahnya untuk menyampaikan bakul makanan di daerah ini.

“Makcik tidak bekerja, suami makcik pula tidak dapat turun menangkap ikan kerana PKP. 

“Tapi mujurlah anak (Srikandi) datang dan beri barangan makanan ini,” katanya sambil mengucap terima kasih tidak henti-henti.

Peristiwa itu diceritakan oleh Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Kemaman, Mohd. Noor Mat Ail mengenai aktiviti pengagihan bakul makanan kepada penduduk setempat.

Yang terbaharu, lebih 25 bakul makanan diagihkan kepada penduduk yang diketuai Ketua Srikandi Bahagian Kemaman, Rapia’ah Ngah yang mewakili Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Kemaman, Zawawi Ahmad.

Mohd. Noor memberitahu, pihaknya terus bergerak dalam kumpulan kecil dan dipantau anggota polis bagi memastikan SOP dipatuhi.

“Rata-rata penduduk amat berterima kasih atas bantuan bakul makanan ini.

“Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja pengagihan bakul makanan ini walaupun dalam kuantiti yang kecil,” katanya.

Menjawab pertanyaan, beliau berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada polis yang sentiasa memberikan nasihat bagi memastikan penyerahan bakul makanan itu mematuhi SOP.

“Kehadiran anggota polis juga secara langsung dapat memberi nasihat kepada penduduk mengenai amalan mematuhi SOP dalam menghindarkan penularan Covid-19,” katanya.