KUALA LUMPUR, 14 Jul — Sebarang tindakan menukar kerajaan oleh mana-mana parti pembangkang pada saat genting ini adalah perbuatan kurang cerdik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Memetik Sinar Harian, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu berkata meskipun ada dakwaan DAP akan bersikap berkecuali terhadap sebarang usaha menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), secara logiknya tanpa sebarang perjanjian kepercayaan dan perbekalan (confidence and supply agreement), atau lebih dikenali CSA sekali pun, tindakan itu adalah perkara sepatutnya dilakukan bagi mengelakkan kemarahan rakyat.

“Kalau kata ada perjanjian CSA dengan DAP, saya tidak pasti…tetapi logiknya pada saat negara bergelut menangani krisis COVID-19, langkah pembangkang untuk bersolidariti dengan kerajaan bagi menyelamatkan rakyat yang terkesan dan susah, amat penting.

“Saya difahamkan isu rundingan CSA dengan pembangkang timbul sejak bulan Oktober tahun lalu. Saya tidak tahu apa bentuknya, namun terpulanglah kepada pembangkang untuk merealisasikannya kerana semua ahli Parlimen ada kepandaian masing-masing untuk muhasabah segala usul dibentangkan kerajaan dalam sidang Parlimen.

“Kalau ada usul yang perlu penambahbaikan, kerajaan sedia untuk tambah baik demi kesejahteraan rakyat. Justeru, ruang perbahasan sewaktu sidang Parlimen amat mustahak untuk dijadikan asas perjanjian CSA antara dua pihak kelak,” katanya pada Selasa.

Terdahulu, portal berita itu dalam laporannya menemubual Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mengulas kandungan rakaman audio tularnya sewaktu mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Rabu minggu lalu.

Tajuddin tidak menolak kemungkinan besar kerajaan PN dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menerima sokongan DAP pada saat memerlukan.

“Pada saat UMNO putus menarik sokongan, PN tentunya masih mahu berdiri tegak…Kalau sudah satu tiang seri roboh, kena cari tiang seri lain.”

“Saya boleh cakap kemungkinan besar DAP akan sokong kerajaan PN kerana Muhyiddin terpaksa cari jalan lain untuk ‘survive’…Takkan mereka rela mahu tumbang begitu sahaja.

“Mungkin juga Muhyiddin boleh bentuk kerjasama dengan Warisan (Parti Warisan Sabah) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri. Alasan DAP boleh sokong Muhyiddin kerana mereka memang mahu melihat parti-parti Melayu di negara ini berpecah dan menjadi lemah,” katanya.

Laporan itu juga turut memetik seorang pemimpin UMNO yang enggan dinamakan, mendakwa satu perjanjian kepercayaan dan perbekalan (confidence and supply agreement) atau lebih dikenali CSA sedang dirundingkan di antara kerajaan PN dan DAP ketika ini.

Katanya, perjanjian CSA berkenaan membolehkan DAP menyatakan sokongan terhadap sebarang usul pengundian dikemukakan dalam sidang Parlimen termasuk usul undi percaya kepimpinan Muhyiddin.

“Sebagai timbal balas, kerajaan akan memberikan peruntukan tahunan sewajarnya kepada ahli-ahli Parlimen DAP dengan beberapa pemimpin parti pembangkang itu mungkin dilantik untuk menganggotai jawatankuasa-jawatankuasa penting di peringkat Parlimen dan kementerian.

“Melalui perjanjian ini, DAP masih kekal dalam komposisi pembangkang dan tidak sesekali menyertai kerajaan PN sebagai rakan koalisi…cuma mereka berpandangan sebarang tindakan menukar kerajaan pada saat kritikal ini tidak sesuai.

“Secara tersirat, perjanjian ini dibuat susulan sebilangan besar pemimpin DAP dikatakan tidak bersetuju dengan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bekerjasama dengan UMNO untuk menumbangkan kerajaan pada saat rakyat bergelut mendepani krisis Covid-19 dan sukar mencari makan,” katanya.