KUALA LUMPUR, 15 Julai – Peruntukan khas sebanyak RM300,000 kepada program Bantuan Bakul Makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akan dipastikan sampai kepada golongan rakyat memerlukan di Parlimen Kuala Pilah.

Ketua BERSATU Bahagian Kuala Pilah Datuk Eddin Syazlee Shith berkata berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2020, penduduk Kuala Pilah mencecah 75,000 orang dengan bilangan keluarga sebanyak 23,299.

“InsyaAllah, sebaik mungkin kami cuba pastikan mereka yang layak menerima akan memperoleh bakul makanan PEMULIH.

“Mungkin tak semua akan dapat, tapi saya dan team telah berusaha untuk memperluaskan peruntukan khas RM300,000 daripada pakej PEMULIH yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ini kepada penduduk Kuala Pilah yang terjejas,” katanya, yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah, dalam kenyataan pada Rabu.

Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa peruntukan khas sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing akibat wabak pandemik COVID-19.