PUTRAJAYA, 15 Jul — Rakyat diminta bersabar kerana jangka masa Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya sehingga akhir tahun ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan menentang wabak COVID-19 akan dapat dicapai dengan kerjasama pimpinan dalam kerajaan, swasta, rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Jangan kata kerajaan tak bagi tumpuan, jangan sesekali percaya dengan kempen kerajaan gagal.

“Tetapi yakinlah dengan kerjasama pimpinan dalam kerajaan, swasta, rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kita boleh menang dalam menghadapi peperangan ini,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau persiapan program Bakul Prihatin Negara diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Khamis.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksinasi COVID-19.

Jelasnya, langkah itu bagi membolehkan kehidupan rakyat kembali seperti biasa secara berperingkat ketika kerajaan menguruskan pandemik itu.

Sehubungan itu, beliau telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk menilai semula kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin.

“Mutakhir sekali saya minta jawatankuasa pengurusan untuk menilai semula bagi mereka yang mendapat dua suntikan vaksin supaya diberi kelonggaran.

“Ia sama ada dari segi perjalanan atau pun pergi ke kedai dan makan di restoran. Ini petanda untuk menunjukkan sementara kita menguruskan COVID-19, maka kehidupan rakyat sedikit demi sedikit akan kembali seperti masa lepas,” katanya.

Menurutnya, pertimbangan kelonggaran pergerakan itu adalah satu inisiatif untuk terus bergerak ke hadapan sewaktu pandemik.