KUALA LUMPUR 15 Julai – Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) menggesa semua ahli politik menghentikan seketika perbalahan bagi memberi penumpuan kepada agenda pemulihan ekonomi dan membela kebajikan rakyat.

Presiden PINTAR, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, perbalahan politik sehingga ada pihak membangkitkan untuk menukar kerajaan dan ada pula cuba berkempen menukar Perdana Menteri adalah sesuatu yang sangat tidak sesuai buat masa ini.

Beliau berkata, PINTAR berasa bimbang sebenarnya dengan keadaan terkini pandemik Covid-19 yang telah menjangkau melebihi 5 angka untuk kes harian.

“Apa yang membimbangkan kita adalah sikap sebahagian ahli politik yang tidak habis-habis hanya mementingkan kuasa, tanpa memikirkan kesan yang sedang dihadapi oleh rakyat pada ketika ini.

“PINTAR yakin terdapat majoriti Ahli Parlimen yang menyokong kepemimpinanPerdana Menteri dalam hal membangunkan ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat.

“Dalam aspek ini, kami melihat bahawa Perdana Menteri terus berjiwa besar membuka ruang kerjasama dengan semua pihak yang ingin membantu, sama ada dari pihak parti-parti yang membentuk kerajaan mahupun kerjasama dari mereka yang menyuarakan persetujuan dari pihak pembangkang,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Roslan berkata, memperkukuhkan kerajaan dengan kebersamaan ahli-ahli politik dalam menghadapi pandemik, pasti akan dapat menstabilkan semula keadaan ke arah pemulihan ekonomi.

Jelas beliau, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini boleh dijadikan landasan untuk memperkukuhkan sokongan dan kebersamaan dalam usaha menguruskan negara.

“Begitu juga, apa yang dibuat untuk membantu rakyat dengan memberikan peruntukan RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen bagi menyediakan bakul makanan, adalah usaha yang sangat baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PINTAR mencadangkan kerajaan menggerakkan muafakat politik dan menyediakan apa yang dikenali sebagai ‘confidence and supply arrangement’ (perjanjian kepercayaan dan belanjawan).

Menurutnya, dengan memberikan peruntukan, ia sebagai isyarat menghargai sokongan mereka dalam usaha bekerjasama bagi memastikan soal pemulihan ekonomi dapat dilakukan dengan baik.

PINTAR seterusnya mengecam mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh dalam suasana negara sekarang ini.

“Suara-suara untuk menukar PM perlu dihentikan, begitu juga dengan kempen tanda pagar yang negatif mesti dihentikan juga. Kami turut meminta agar rakyat jangan terpedaya dengan kempen kerajaan gagal kerana terbukti kerajaan bertungkus-lumus memberikan yang terbaik buat semua,” katanya