KUALA LUMPUR, 20 Jul — Kerajaan dicadang memberikan penekanan kepada sektor kerja pembinaan bagi projek berskala kecil oleh kontraktor G1 dan G2, supaya kumpulan itu dapat keluar segera daripada ekonomi yang menghimpit sejak wabak COVID-19 melanda negara.

Cadangan itu disuarakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Mohd Zulkifli Zakaria dalam sesi konsultasi bersama Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semalam.

Mohd Zulkifli berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), majoriti kontraktor tersebut tidak boleh melaksanakan kerja-kerja pembinaan mereka.

Paling terkesan, katanya, hampir 80 peratus buruh binaan terjejas terutamanya di Bachok.

“Gerakkan ekonomi di musim PKP adalah dengan menggalakkan penglibatan kontraktor kecil. Kebanyakan mereka adalah penduduk kampung yang tiada pendapatan tetap.

“Yang amat kritikal adalah buruh binaan, di mana kadang-kadang terlepas pandang.

“Ini kerana dalam musim ini, mereka tidak boleh buat kerja apapun, jadi tiada pendapatan.

“Maka, kita kena cipta pekerjaan untuk mereka, di situ kita boleh lihat putaran ekonomi setempat,” katanya ketika dihubungi Wacana.my pada Selasa.

BERSATU

Semalam, Mohd Zulkifli bersama tiga lagi wakil BERSATU mengadakan sesi konsultasi PPN bersama Tengku Zafrul.

Turut dijemput menyertai sesi konsultasi secara berasingan sejak minggu lalu ialah wakil parti lain termasuk pembangkang seperti PEJUANG, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Antara cadangan lain, katanya, adalah pengenalan Crowdfunding untuk membantu usahawan kecil dalam perniagaan online, di mana model itu diambil berdasarkan kejayaan negara Eropah mengembangkan pasaran perniagaan mereka.

“Perniagaan berpotensi untuk maju tetapi mempunyai kekurangan modal. Maka, selain pinjaman bank, penyelesaiannya adalah kaedah pengumpulan sumber kewangan dengan cara meminta daripada orang ramai atau beberapa organisasi.

“Ia terbukti berjaya di Eropah berdasarkan Crowdfunding, sebagai contih platform HUUB di UK.

“Ia mampu dapat menolong usahawan dalam jangka masa pendek, manakala untuk jangka masa panjang dapat dividen atau bonus. Ini sesuatu yang kita perlu terokai,” jelasnya.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar para peniaga atau pemilik syarikat yang ingin membuka perniagaan memastikan semua kakitangan mereka telah lengkap vaksinasi.

Sambil menyifatkan pertemuan dua hala semalam sangat positif, Mohd Zulkifli berharap cadangan yang diutarakan mendapat tindakan segera bagi memastikan ekonomi rakyat dapat dirancakkan semula.

“Selama mana kita nak bagi bantuan, selama mana kita nak bagi bekalan. Cara paling terbaik kita bagi pancing, iaitu pekerjaan. Mereka dapat gaji, boleh beri barang keperluan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya rakyat ada duit dan ada makan.

“Saya tidak nampak kerajaan itu gagal kerana bagi saya segala-galanya telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

“Mereka perlu gerakkan ekonomi dari sekarang,” katanya.