KUALA LUMPUR, 22 Julai — Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin merakamkan ucapan selamat maju jaya kepada kontinjen negara yang bakal beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula esok hingga 8 Ogos ini.

Beliau berkata seramai 18 daripada 30 atlet Malaysia yang layak beraksi pada temasya kali ini, merupakan lepasan Sekolah Sukan.

“Syabas buat warga pendidik dan jurulatih yang berjaya memupuk dan membentuk barisan atlet negara! Semoga ini dijadikan inspirasi buat semua pelajar Sekolah Sukan Malaysia kini.

“Bersama-sama kita doakan kesihatan, keselamatan dan kekuatan untuk Olimpian kita agar mereka dapat memberikan prestasi yang terbaik. Selamat berjuang wira dan wirawati negara! Semoga kejayaan milik Malaysia,” katanya menerusi laman Facebook pada Khamis.

Bagi temasya kali ini, Malaysia akan menyertai sukan renang, terjun, memanah, badminton, berbasikal, gimnastik, golf, menembak, olahraga dan pelayaran, dengan diletakkan sasaran membawa pulang tiga pingat, termasuk sebutir emas.

Pencapaian terbaik Malaysia adalah kejayaan merangkul empat perak dan satu gangsa di temasya Rio 2016.