PUTRAJAYA, 23 Julai — Seramai 59,816 penerima yang kebanyakannya warga tani mendapat manfaat di bawah program MAFI Prihatin kelolaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Melalui peruntukan kira-kira RM5.2 juta, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata program MAFI Prihatin itu dilaksanakan bagi membantu golongan sasar seperti penternak, petani serta peladang yang terjejas akibat pandemik COVID-19 melalui sumbangan bantuan ‘in-kind’ seperti barangan keperluan harian dan makanan.

Bantuan turut diberikan kepada petugas barisan hadapan dan golongan yang terkesan akibat banjir, bencana alam, badan kebajikan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan, katanya.

“Bantuan MAFI Prihatin disalurkan melalui pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI antaranya Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara simbolik penyerahan sumbangan bakul MAFI Prihatin pada Jumaat.

Pada majlis itu, sebanyak 13 syarikat swasta dan korporat dalam industri padi beras negara tampil memberi sumbangan in-kind dalam bentuk barangan keperluan harian dan makanan kepada MAFI untuk disalurkan kepada golongan sasar.

Ronald berkata program MAFI Prihatin diperkasakan lagi dengan penglibatan pihak swasta selaras dengan pendekatan whole-of-nation dalam usaha negara memerangi pandemik COVID-19.

“Program MAFI Prihatin akan diteruskan melalui jabatan dan agensi di bawah MAFI serta kerjasama strategik pihak swasta khususnya pemain industri agromakanan yang pastinya akan membolehkan lebih ramai lagi golongan yang memerlukan mendapat manfaat dan menerima bantuan,” katanya.

Mengenai persidangan khas Dewan Rakyat yang akan berlangsung lima hari mulai 26 Julai ini, Ronald berkata persidangan tersebut bukanlah satu perkara yang luar biasa kerana persidangan seumpama itu pernah dilakukan sebelum ini.

“Kita pernah ada sidang Parlimen khas ketika ingin bahas usul serangan Israel terhadap Palestin…jadi ia bukan satu yang luar biasa,” katanya yang juga Ahli Parlimen Beluran.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan sebelum ini berkata sidang khas Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Pejabat Perdana Menteri juga berkata berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan.