KUALA LUMPUR, 23 Julai — Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dicabar melaporkan kepada polis berhubung dakwaannya diugut dengan tindakan mahkamah jika tidak menyertai Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata tindakan melaporkan kepada polis dilihat wajar supaya keadilan dan kedaulatan undang-undang dapat ditegakkan.

“Saya amat simpati terhadap beliau ekoran pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi. Biarlah mahkamah menentukannya. Beliau akan menjalani proses tersebut seperti ahli-ahli politik yang lain.

“Bagaimanapun, adalah amat wajar sebagai pemimpin MUDA, Syed Saddiq berani melaporkan di mana-mana balai polis apa yang telah didakwanya diugut berkali-kali…oleh siapa?

“Laporan perlu dilakukan supaya boleh disiasat kebenarannya. Ini juga membolehkan keadilan dan kedaulatan undang-undang ditegakkan.

“Berani kerana benarlah, Syed Saddiq,” katanya.

Dalam rakaman video yang dimuat naik di akaun media sosialnya semalam, Syed Saddiq mendakwa tuduhan tersebut merupakan kemuncak kepada ugutan bahawa dia akan didakwa di mahkamah kecuali sekiranya dia menyertai Perikatan Nasional.

Dia berkata ugutan seumpama itu timbul setiap kali muncul isu undian di parlimen di mana ia dijadualkan bersidang semula minggu depan.

“Pada saat-saat seperti ini saya teringatkan mengapa saya menyertai politik. Kebenaran akan terserlah.

“Saya lebih rela masuk mahkamah dari masuk Perikatan Nasional,” katanya.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyalahgunakan dana Bersatu bernilai RM1.12 juta.

Bekas menteri belia dan sukan itu mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di depan hakim, Azura Alwi.

Menurut pertuduhan pertama, Syed Saddiq dituduh menyalahgunakan wang BERSATU itu melalui cek CIMB Bank, di CIMB Bank, KL Sentral, Kuala Lumpur, pada 6 Mac tahun lalu.

Pertuduhan kedua mula mendakwa Syed Saddiq secara curang menyalahgunakan dana yang dikumpulkan Armada – bernilai RM120,000 – yang sepatutnya untuk pilihan raya umum (PRU) lalu.

Dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Maybank Islamic Berhad cawangan Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur, antara 8 April dan 21 April 2018.

Azura kemudian membenarkan Syed Saddiq diikat jamin RM330,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.