KUALA LUMPUR, 23 Julai — Kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Pembangunan masyarakat Orang Asli yang komprehensif bagi meningkatkan pembangunan sosioekonomi golongan itu selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata di bawah RMK12, kerajaan mahu meningkatkan kesejahteraan masyarakat Orang Asli agar mereka boleh menikmati pembangunan sosioekonomi negara dengan lebih bermakna.

Mustapa menjelaskan beberapa pendekatan pembangunan yang komprehensif akan dilaksanakan termasuk memberi tumpuan kepada pendidikan, mengurangkan kemiskinan serta menyediakan infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan asas yang lebih baik kepada masyarakat Orang Asli.

“…dengan kerjasama antara agensi yang akan diperkukuh untuk memantapkan penyampaian perkhidmatan, kesemua inisiatif ini dijangka membantu pencapaian pembangunan yang inklusif serta meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata tahap pendidikan masyarakat Orang Asli masih rendah sehingga menyebabkan mobiliti sosial dan kebolehpasaran mereka berkurang.

Menurut beliau infrastruktur asas yang tidak mencukupi, kekurangan kemudahan dan perkhidmatan seperti jalan perhubungan, bekalan elektrik, bekalan air terawat dan telekomunikasi turut menjejaskan kesejahteraan komuniti itu.

“Berikutan itu, menerusi pertemuan secara dalam talian buat kali kedua ‘Poverty Circle’ atau Kumpulan Pemikir Mengenai Kemiskinan hari ini yang membabitkan 35 wakil daripada pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa koridor dan sektor swasta, beberapa perbincangan telah dilaksanakan.

“Ia menyentuh tentang keperluan data yang tepat berkaitan isu kemiskinan dalam kalangan masyarakat Orang Asli, Pelan Pembangunan Orang Asli yang holistik dan kesungguhan dalam melaksanakan program pembangunan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Selain itu, dua kertas kerja turut dibentang iaitu status dan pelan pembangunan masyarakat Orang Asli oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli serta tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pusat Pendidikan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)-CIMB Islamic Pos Gob, Gua Musang, Kelantan oleh Pusat Transformasi Komuniti UKM.

“Inisiatif ini bertujuan berkongsi amalan terbaik bagi menangani isu kemiskinan dalam masyarakat Orang Asli menggunakan pendekatan keseluruhan negara yang melibatkan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Poverty Circle diadakan buat pertama kali pada 1 Julai lepas yang dipengerusikan Mustapa bagi membincangkan data eKasih dan perkongsian maklumat model pelaksanaan program CSR MyKasih yang dilaksanakan Dialog Group.

Pertemuan ketiga kumpulan pemikir ini akan diadakan dalam tempoh sebulan lagi untuk membincangkan isu kemiskinan di Sabah dan Sarawak, diikuti isu kemiskinan bandar pada pertemuan keempat.