KUBANG PASU, 24 Julai — Semua ahli Parlimen diharap menggunakan persidangan khas Dewan Rakyat yang akan bermula Isnin depan sebagai platform untuk memastikan mereka mendapat maklumat terkini daripada kerajaan agar dapat membantu rakyat ke arah lebih baik.

Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata persidangan khas selama lima hari itu wajar dimanfaat sebaik mungkin dan segala perbezaan politik dapat diketepikan buat seketika.

“Saya rasa ketepikan sekejap perbezaan politik dan perdebatan politik kerana ketika ini rakyat sedang memerlukan.

“Kita fokus supaya segala tumpuan kita di Parlimen nanti kepada kepentingan rakyat.

“Sebenarnya semakin ramai ahli Parlimen pembangkang yang nampak keikhlasan kerajaan dan menyuarakan kepentingan untuk duduk bersama untuk mara ke hadapan.

“Kita kena raikan ahli-ahli Parlimen termasuk pembangkang, yang nak membantu,” katanya ketika ditemui selepas program agihan bakul makanan Skuad PTPTN Prihatin di Kubang Pasu, pada Jumaat.

Isnin depan, Ahli-ahli Parlimen akan kembali ke bangunan Parlimen bagi menghadiri sidang khas Dewan Rakyat selepas persidangan ditangguhkan sejak awal tahun ekoran pandemik COVID-19 yang kini hampir mencecah 1 juta kes.

Buat pertama kali untuk tahun ini Ahli Parlimen akan berkumpul di bawah satu bumbung bagi mendengar penerangan, mengajukan soalan dan membahaskan beberapa perkara berkaitan Proklamasi Darurat dan langkah-langkah kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19.

Persidangan lima hari mulai 26 Julai itu dilaksanakan secara bersemuka dengan kehadiran semua Ahli Parlimen di dalam dewan, tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata rakyat akan menilai setiap ahli Parlimen sama ada masih bertelagah mengenai desakan perdana menteri meletak jawatan, atau berkhidmat kepada rakyat.

Situasi ini, katanya, akan menyebabkan rakyat akan meluat kepada kumpulan ahli Parlimen terbabit.

“Saya rasa sekiranya ahli-ahli politik tak habis-habis bertelagah dan berdebat isu politik, ada yang tak habis suruh perdana menteri letak jawatan, dia (pembangkang) tak sebut ‘lantiklah aku jadi perdana menteri’.

“Kalau berterusan begini, rakyat akan meluat, rakyat sedang menilai, siapa yang berkhidmat kepada rakyat, siapa yang berkhidmat untuk diri sendiri.

“Lagi dipolitikkan, lagi rakyat nampak tembelang sebenar mereka yang mengejar kuasa dan jawatan. Eloklah berhenti sikap begini.

“Ada beberapa orang sahaja kluster mahkamah yang ada kepentingan peribadi, yang nak kita terus berdebat isu politik.

“Kalau nak tunjuk tembelang kepentingan peribadi, tunjuk bulan September nanti,” katanya.