KUALA LUMPUR, 24 Julai — Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensinya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggalakkan lebih ramai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menggunakan platform e-dagang dalam perniagaan mereka melalui Program eTRADE 2.0.

Menterinya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata platform e-dagang mampu membantu PKS meningkatkan kebolehpasaran dan mempromosikan produk mereka ke pasaran global, melihat kepada manfaat yang bakal diperoleh.

“Program eTRADE 2.0 ini membantu PKS kekal berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa pandemik COVID-19. Mereka berpeluang mengembangkan perniagaan dan pasaran mereka secara dalam talian menerusi laman web e-dagang seperti Alibaba.com, Amazon.com, eBay.com, T-Mall, JD.com, HalalStreet serta banyak lagi.

“Kewujudan pelbagai platform e-dagang ini akan membuka peluang untuk PKS meningkatkan perniagaan eksport mereka dan membantu mereka mendapat pelanggan baru diperingkat global apabila menyertai eTRADE 2.0.

“Insentif kewangan sehingga RM5,000 turut disediakan kepada PKS yang layak untuk menyertai mana-mana platform e-dagang selama setahun. Selain itu, MATRADE juga akan memperuntukkan sehingga RM20,000 kepada PKS yang layak untuk menjalankan pemasaran digital selama setahun,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Program eTRADE 2.0 ini telah dilancarkan pada Mac lalu dan ia merupakan penambahbaikan daripada program eTRADE di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Justeru, untuk PKS tempatan yang berminat mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi boleh merujuk laman sesawang, https://www.matrade.gov.my/en/etrade/introduction.