[K]OTA BHARU, 24 Julai — Pendaftaran suntikan vaksin Covid 19 perlu dipertingkatkan di negeri ini memandangkan jumlahnya masih di bawah tahap 60 peratus.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata badan bukan kerajaan (NGO) dan parti boleh memainkan peranan untuk membantu melaksanakan gerakan pendaftaran vaksin kepada rakyat negeri ini.

“Peranan pihak ketiga boleh dilakukan bagi menggerakkan suntikan vaksin kepada rakyat Kelantan supaya jumlah pendaftaran berlaku peningkatan lebih ketara.

“Berdasarkan jumlah daftar vaksin di Kelantan masih lagi rendah berbanding negeri lain dan usaha pendaftaran perlu disegerakan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ibadah korban anjuran BERSATU bahagian Kota Bharu di Kemumin Pengkalan Chepa pada Khamis.

Beliau yang juga Ketua BERSATU bahagian Kota Bharu berkata, pendaftaran untuk temu janji dapat mempercepatkan peratusan tinggi rakyat negeri ini yang menerima suntikan bagi melandaikan kes penularan pandemik Covid 19.

Katanya, bilangan kes harian Covid 19 secara amnya dilihat meningkat tetapi kes kritikal adalah menurun.

“Kita kena faham dan jangan taksub kepada jumlah kes tetapi kita kena lihat secara terperinci.

“Dalam konteks Kelantan, kes harian walaupun ada kenaikan tetapi ia masih rendah berbanding negeri lain, antaranya Selangor,” katanya.

Sehubungan itu beliau mahu rakyat Kelantan cepat mendaftar diri bagi membolehkan mereka mendapat temu janji segera.