KUBANG PASU, 23 Julai — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa prihatin dalam membantu masyarakat terutamanya golongan asnaf yang terkesan akibat wabak pandemik COVID-19, dengan memperuntukkan sebanyak RM300,000 menerusi bantuan bakul makanan melalui progam Skuad PTPTN Prihatin.

Pengerusinya Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata dengan peruntukan yang dikeluarkan daripada wakalah zakat di PTPTN, seramai 4,000 orang yang terkesan di seluruh negara boleh mendapat manfaat bantuan tersebut.

“Hari ini saya berada di Parlimen Kubang Pasu untuk mengagihkan sebahagian daripada bantuan yang kita keluarkan daripada Wakalah Zakat di PTPTN.

“Secara keseluruhan, kita mengagihkan zakat berjumlah RM300,000 dan ini kita berikan dalam bentuk kotak makanan.

“Setiap keluarga akan menerima sumbangan bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan harian.

“Kita boleh bantu 4,000 orang di seluruh Malaysia. Insyallah, PTPTN sedia membantu,” katanya selepas program agihan bakul makanan Skuad PTPTN Prihatin di Kubang Pasu, pada Jumaat.

Wan Saiful juga melahirkan penghargaan kepada Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (DANA KITA), yang membantu dari segi logistik pengagihan barangan sumbangan Skuad PTPTN Prihatin ke pelbagai lokasi.

“Saya sempat bersama mereka di Kedah minggu lepas, semasa menyampaikan sumbangan kepada Kem 5 Rejimen Sempadan dan IPD Kubang Pasu. Tapi tak ikut sama ke negeri lain untuk elak rentas negeri.

“Kelmarin team Dana Kita bersama Skuad PTPTN Prihatin sudah sampai ke Terengganu pula. Edaran diteruskan sepanjang beberapa hari ini, sebelum ke negeri-negeri lain.

“Hanya Allah boleh membalas jasa baik team Dana Kita dan Skuad PTPTN Prihatin. Semoga semua ini dapat membantu mereka yang terkesan, dan menjadi bekalan kita di hari kemudian,” katanya.