JOHOR BAHRU, 24 Julai — Program Vaksin Bergerak Prihatin Johor yang dijalankan di perumahan Flat Sri Stulang, di sini merupakan satu-satunya program vaksinasi yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Pengarah program, Datuk Azlinda Abd. Latif berkata pihaknya menyasarkan untuk memberi suntikan vaksinasi kepada seramai 600 orang menerusi program berkenaan.

Menurut beliau, Pertubuhan Kebajikan Kami Prihatin Negeri Johor merupakan NGO yang berdaftar dengan Protecthealth dan mendapat kelulusan Jawatankuasa Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 (CITF).

“Program ini akan dijalankan sebanyak tiga kali iaitu dalam tempoh sehari, seramai 200 penduduk terpilih di kawasan ini akan diberikan suntikan vaksinasi Covid-19.

“Fokus program ini adalah individu yang berdepan kesukaran untuk berkunjung ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada atas pelbagai faktor sama ada ekonomi, lokasi mereka atau lain-lain.

“Ini termasuklah individu dalam kategori B40, Orang Asli, warga emas, pesakit kronik yang terlantar di rumah dan juga gelandangan,” katanya selepas melawat Program Jelajah Vaksin Bergerak Prihatin Johor di Dewan Serbaguna Sri Stulang, pada Ahad.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama beberapa pihak antaranya Majlis Bandaraya Johor Bahru, Klinik Bergerak Waqaf An-Nur, Mara Liner dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

Tambah Azlinda, tujuan program itu adalah untuk menyokong usaha kerajaan dalam memastikan lebih ramai masyarakat di negara ini mendapat suntikan vaksin bagi mencapai sasaran imuniti kelompok.

“Jika program ini berjaya, kita akan memperluaskan lagi pelaksanaannya di beberapa kawasan lain bergantung kepada jumlah bekalan vaksin yang diberikan kerajaan.

“Selain itu, kami juga telah diberikan kebenaran untuk menjalankan program serupa membabitkan golongan gelandangan di sekitar Johor Bahru dimana ia dijangka dapat dilangsungkan pada hujung bulan ini.

“Apabila bekalan vaksin CanSino diterima, kita akan mula melaksanakan program itu,” ujarnya.