KOTA BHARU, 26 Julai — Pendaftaran vaksinasi secara berkelompok sangat perlu dilakukan di Kelantan supaya tiada individu terutama di kawasan luar bandar tercicir daripada mendapatkan vaksin.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, berkata buat masa ini, pendaftaran vaksinasi di Kelantan masih pada kadar 60 peratus, berbanding nasional sudah lebih 80 peratus.

Beliau berkata, kemungkinan sebahagian besar rakyat di negeri ini mengadapi masalah untuk mendaftar vaksin termasuk mempunyai ketidakupayaan peranti untuk memuat turun aplikasi MySejahtera.

“Justeru, pendaftaran vaksinasi secara berkelompok perlu dibenarkan dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik. Jadi mereka yang tiada peranti tidak akan tertinggal sekali gus mencapai imunisasi kelompok 80 peratus.

“Misalnya terdapat 15 penduduk yang mahu daftar vaksin tapi tiada MySejahtera, jadi kita boleh bantu daftarkan mereka sekali gus serta susun temu janji.

“Dengan cara ini penduduk yang berada dalam kategori miskin di negeri ini tidak akan tertinggal atau tercicir sekali gus pendaftaran vaksin akan meningkat di Kelantan,” katanya selepas mengagihkan Bakul Prihatin kepada penduduk Kampung Dusun, Kota Bharu.

Ditanya situasi negara yang kini merekodkan peningkatan kes Covid-19, Mohamed Farid yang juga Ketua BERSATU Kota Bharu, berkata satu-satunya jalan keluar untuk menghadapi wabak terbabit adalah melalui vaksin.

Katanya, rakyat tidak boleh menyalahkan kerajaan PN dengan peningkatan kes Covid-19 memandangkan jangkitan itu bukan satu-satunya disebabkan pembukaan kilang.

“Jika kita lihat statistik di Selangor lebih kepada ‘sporadic’ iaitu berada di mana-mana. Kita tidak boleh sebut ada kluster kilang kerana ia tidak tepat.

“Jadi cara keluar adalah dengan vaksinasi supaya apabila kita dijangkiti covid, kita hanya berada pada tahap satu atau dua, bukan semakin teruk sehingga pada tahap empat yang boleh menyebabkan kematian,” katanya. – Journal Malaysia