KUALA LUMPUR, 26 Julai — Ahli Dewan Negara dari BERSATU, Senator Ir Md Nasir Hashim dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berkuat kuasa 15 Julai lepas untuk tempoh tiga tahun.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BERSATU Johor, berkata dengan tanggungjawab yang diamanahkan, beliau bersama pasukan jawatankuasa komited dalam membantu kerajaan menjadi semak dan imbang berhubung masalah rasuah di Malaysia.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Yang di-Pertuan Agong, dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepercayaan yang diberikan.

“Saya berazam akan memberikan perkhidmatan terbaik di samping memberikan penjelasan antirasuah kepada rakyat dan langkah-langkah pencegahan isu tersebut.

“Bagaimanapun, satu taklimat terperinci akan diadakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Wacana.my pada Isnin.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dilantik sebagai pengerusi baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

Selain Md Nasir, turut dilantik lima anggota baharu yang terdiri daripada tiga senator dan dua Ahli Parlimen.

Mereka ialah Naib Presiden PAS Senator Idris Ahmad, Senator Zaiedi Suhaili, Senator Raj Munni Sabu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Watikah pelantikan itu disampaikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis ringkas di Bangunan Parlimen pada Isnin.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

JKMR diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Ahli-ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat mewakili parti pemerintah dan pembangkang.

JKMR bertanggungjawab untuk menasihati perdana menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia dan memeriksa laporan tahunan SPRM.

Jawatankuasa khas itu juga berperanan untuk memeriksa ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah serta mendapatkan penjelasan dan penerangan mengenai laporan tahunan SPRM.