KUALA LUMPUR, 27 Julai — Pentas Parlimen adalah mencari kaedah terbaik untuk mencari formula pengurusan hal ehwal kemasyarakatan bagi mendepani dan menguruskan permasalahan pandemik COVID-19 dengan perancangan strategik yang efisien dan efektif menerusi penerangan Menteri-menteri yang telah diaturkan dalam aturan urusan mesyuarat dewan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Razali Idris berkata sewajarnya semua Ahli Parlimen perlu menghormati hasrat murni Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar mesyuarat khas Parlimen dijayakan dalam keadaan lancar.

“Kekecohan yang melampau dan kejahilan berhujah dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang dalam mesyuarat khas Parlimen di Dewan Rakyat boleh disifatkan sebagai ‘penyakit mental’ yang tidak enak disajikan kepada pengundi dan rakyat Malaysia.

“Tingkah laku Ahli Parlimen pembangkang yang langsung tidak menghormati Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun serta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta mencemuh Menteri Kewangan yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sesi penggulungan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah perbuatan yang sungguh biadab.

“Tujuan mesyuarat khas Parlimen ini adalah sebagai satu proses semak dan imbang untuk melihat negara terus ditadbir dengan baik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tidak sampai sejam bersidang, sidang khas Dewan Rakyat semalam panas dengan pertikaman lidah antara Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan wakil rakyat pembangkang.

Kekecohan itu bermula apabila wakil rakyat pembangkang meminta penjelasan daripada Azhar Azizan berhubung ketiadaan perbahasan, usul dan undian mengenai Proklamasi dan Ordinan Darurat pada sidang khas berkenaan.

Mengulas lanjut, Razali berkata rakyat hairan dengan sikap ‘penyakit mental’ ahli Parlimen pembangkang semalam kerana mereka amat mengharapkan penerangan, perbincangan, perbahasan dan pertanyaan yang bernas dan berilmiah dapat dicapai dengan solusi terbaik bagi membantu rakyat dan ekonomi negara.

“Justeru, jangan dicemarkan kesucian Dewan Rakyat dengan polemik serta retorik yang telah ditunjukkan oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang semalam.

“Sikap Ahli Parlimen pembangkang Dewan Rakyat tidak langsung menunjukkan sebagai seorang penggubal undang-undang malahan tidak langsung menghormati Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, sekaligus mencemarkan nama baik institusi Parlimen Malaysia.

Jangan dimomokkan dengan sikap jelik dan membuang masa sepanjang mesyuarat khas Parlimen ini. Pengundi dan rakyat Malaysia kini memerhatikan wakil rakyat yang berwibawa untuk pilihan raya umum yang akan datang ini,” katanya.