KUALA LUMPUR, 28 Julai — Tidak ada negara yang boleh muncul menjadi sebuah negara dengan status berpendapatan tinggi tanpa terlebih dahulu meningkatkan tadbir urus, menghapuskan rasuah dan mempromosikan integriti di setiap sektor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata memandangkan rakyat sentiasa memerhati dengan teliti prestasi kerajaan dalam bidang-bidang tadbir urus dan integriti, Jabatan Audit Negara harus melaksanakan tanggungjawabnya untuk mengaudit semua perbelanjaan oleh kementerian dan agensi.

Dalam usaha menjadi sebuah negara maju di kedua-dua sektor awam dan swasta, Mustapa mengakui isu-isu yang membimbangkan telah muncul di negara ini seperti penipuan, rasuah, tadbir urus dan pengurusan kewangan yang lemah, penyalahgunaan kuasa dan banyak amalan yang tidak beretika.

“Kurangnya integriti dalam institusi, sektor awam dan swasta akan memudaratkan pertumbuhan ekonomi negara kita.

“Dalam situasi semasa ketika kita menghadapi cabaran ekonomi dan kesihatan yang sukar, perkara mengenai tadbir urus dan integriti yang baik telah menjaid semakin penting.

“Kita mesti berhati-hati dalam perbelanjaan kita. Tiada toleransi untuk penyalahgunaan kuasa dan tadbir urus yang lemah,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Tahunan ECoFI Ketujuh (AES) 2021 yang diadakan secara maya pada Rabu.

Mustapa berkata setiap sen yang dibelanjakan untuk pakej rangsangan kerajaan harus dipantau dengan teliti untuk memastikan bahawa objektif untuk membantu rakyat dan perniagaan tercapai pada saat-saat krisis dan pada masa sama memperkukuhkan tadbir urus dan integriti untuk pemulihan ekonomi yang cepat dan lancar.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) Datuk Seri Akhbar Satar berkata terdapat banyak tindakan yang perlu diambil dalam tindak balas dan pemulihan COVID-19.

Ini termasuk membina kerangka yang adil untuk keterbukaan dan akses data; menangani risiko segera dalam pemerolehan awam kecemasan; mekanisme untuk pelaksanaan, pematuhan dan kajian semula yang berkesan; menjaga keadilan dalam pelaksanaan standard integriti awam; dan memupuk budaya integriti dalam kepemimpinan.

“Bahkan, ketelusan semakin penting semasa krisis. Kurangnya semak dan imbang boleh menyebabkan penyalahgunaan pemerolehan awam kerana beberapa peraturan dan undang-undang telah dilonggarkan.

“Ia juga boleh menjuruskan kepada amalan penetapan harga dan bidaan (pakatan) – yang merupakan kaedah biasa yang digunakan dalam pemerolehan kecemasan,” katanya.

Akhbar menambah apa sahaja isu membimbangkan yang muncul termasuk berita palsu atau salah maklumat harus ditangani, selain mengakui kekurangan dan kebenaran kepada orang ramai.

AES 2021 dianjurkan oleh Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECoFI), Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan tema, ‘Krisis Kesihatan COVID-19: Memperkukuh Tadbir Urus dan Integriti Untuk Pemulihan Ekonomi Yang Cepat’ .