PASIR GUDANG, 28 Julai — Dijangka tiada usul tergempar termasuk menarik sokongan terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bersidang pada 12 Ogos ini.

ADUN Permas dari BERSATU, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, sidang DUN Johor dijangka tenang dan lancar terutama selepas tiada perubahan kerajaan di peringkat Pusat.

“DUN Johor hanya akan panas atau akan ada usul tergempar sekiranya berlaku pertukaran kerajaan di peringkat nasional. Setakat ini, saya tidak dengar ada ADUN yang akan memberikan usul sedemikian.

“ADUN mesti tumpu untuk menyelesaikan masalah rakyat dan diharapkan DUN Johor kekal menjadi contoh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar penyerahan sumbangan pihak Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) RM500,000 untuk Tabung Bencana Negeri Johor di Pusat Khidmat DUN Permas, Taman Bukit Dahlia pada Rabu.

Sumbangan itu disampaikan beliau selaku Pengerusi Kejora kepada Hasni yang mewakili kerajaan negeri di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar, Iskadar Puteri pada Rabu.

Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, pihaknya sendiri akan mengusulkan masalah rakyat di daerah ini antaranya banjir kilat, parit tersumbat dan perkara-perkara berkaitan COVID-19.