KUALA LUMPUR, 29 Julai — Semua Ahli Parlimen BERSATU berdiri teguh dan menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS dan empat Ahli Parlimen bebas yang menzahirkan sokongan menyokong Perdana Menteri.

“Pada masa sama, BERSATU menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan semua Ahli Parlimen memberikan keutamaan kepada usaha menjaga kesejahteraan rakyat dan agenda memerangi COVID-19 pada Mesyuarat Khas Parlimen.

“BERSATU akan terus fokus dan komited untuk meneruskan agenda membela rakyat dan memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Istana Negara turut mengesahkan pembatalan semua Ordinan Darurat oleh kerajaan belum mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan semua tindakan yang dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, kerajaan sudah menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri sebanyak dua kali kepada Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibatalkan, dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda mengenainya.