KUALA LUMPUR, 30 Julai — Sebanyak 500 kotak bakul makanan diagihkan kepada setiap Parlimen sehingga selesai ke semua 26 kawasan Parlimen di negeri Johor bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19, di Bahagian dan Parlimen masing-masing.

Setiausaha Perikatan Nasional Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata sukarelawan Skuad Prihatin Johor di bawah kendalian bahagian dan kawasan masing-masing bersedia untuk menghantar bantuan kepada pemohon sebaik sahaja tiba masanya nanti.

“Kelmarin saya berpeluang ke Pejabat Bahagian Bersatu/PN Ayer Hitam dan Simpang Renggam bagi penghantaran dan meninjau pusat penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin di setiap kawasan masing-masing.

“Semalam saya di kawasan Felda Maokil dan hari ini saya akan ke Pontian dan Tanjung Piai.

“Terima kasih Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia selaku Pengerusi Perikatan Nasional Malaysia merangkap Ahli Parlimen Pagoh di atas sumbangan yang telah diagihkan kepada kesemua kepimpinan Bahagian dan kawasan di Negeri Johor.

“Semoga ianya dipermudahkan dan berjaya membantu kepada insan yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sahruddin juga turut mengucapkan penghargaan kepada Sukarelawan Prihatin Johor di atas khidmat dan bakti bagi memudahkan segala penghantaran dan persiapan.

“Tanpa anda, kesemua niat baik murni ini tidak berjalan lancar,” katanya.