KUALA LUMPUR, 30 Julai — Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) membuat keputusan untuk melanjutkan lagi tempoh pembayaran balik pinjaman (moratorium) secara automatik kepada semua Sahabat AIM bermula 1 sehingga 31 Ogos ini.

Pengerusi Eksekutif AIM Datuk Seri Lajim Ukin bagaimanapun menjelaskan Sahabat AIM yang ingin membuat pembayaran balik pinjaman masih boleh berbuat demikian dengan kaedah tanpa tunai (CMCCS) atau online banking (Akaun Kutipan AIM) sepanjang tempoh moratorium ini.

Katanya, pembayaran tersebut sekali gus akan digunakan untuk pengurangan baki pinjaman atau pembayaran awal.

“Dengan penangguhan ini, AIM telah memberi moratorium selama tiga bulan bermula dari tarikh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa secara penuh iaitu pada 1 Jun lalu.

“Ia membabitkan nilai sebanyak RM577.3 juta, iaitu RM192.4 juta sebulan, yang memberi manfaat kepada seramai 378,507 Sahabat AIM di seluruh negara.

“Selain moratorium, semua Mesyuarat Pusat (MP) di seluruh negara juga ditangguh sehingga tarikh yang sama.

“Kita juga akan mengeluarkan pekeliling MP yang baharu untuk dilaksanakan, mengambil kira norma baharu, bagi mengelakkan penyebaran COVID-19 serta menjaga kesejahteraan Sahabat serta kakitangan AIM,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Lajim berkata, Sahabat AIM juga boleh memohon untuk pengurangan baki pinjaman atau pembayaran awal pinjaman apabila MP dibuka semula bagi setiap pembayaran yang dibuat sepanjang tempoh moratorium.

Dalam pada itu, beliau berkata, kutipan Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) bagi tempoh setengah tahun kedua 2021 akan dibuat apabila MP dibuka semula.

“Bagi Sahabat AIM yang mencarum untuk setengah tahun pertama 2021, akan kekal dilindungi dan menerima manfaat seperti biasa jika berlaku kecelakaan mahupun bencana sepanjang tempoh moratorium berkuat kuasa,” katanya.

Pada masa sama, kata Lajim, AIM juga akan menutup operasi di semua cawangan seluruh Malaysia bagi tempoh yang sama, membabitkan Pusat Latihan AIM di Taiping, Perak; di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, Pejabat Wilayah dan Ibu Pejabat akan tetap beroperasi mengikut peraturan-peraturan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara,” ujarnya.

Tambahnya, semua keputusan itu dibuat memandangkan keadaan COVID-19 yang masih belum reda dan atas keprihatinan terhadap kesukaran yang dialami Sahabat AIM yang terkesan teruk.

Sahabat AIM juga diminta sentiasa berhubung dengan pegawai-pegawai amanah di blok masing-masing untuk mendapat maklumat yang tepat dan mengikuti pelbagai kursus serta bengkel yang diadakan secara dalam talian.

Lajim turut menasihatkan Sahabat AIM untuk mendaftar dengan MySejahtera dan mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi program yang dilaksanakan di seluruh negara untuk kebaikan bersama.