SEPANG, 31 Julai — Semua pengusaha Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digesa agar segera memohon Bantuan Khas Taska di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), sebelum 31 Ogos.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kerajaan telah memperuntukkan RM13.2 juta yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 4,400 pengusaha taska yang berdaftar di bawah JKM.

“Tujuan pemberian bantuan ini adalah untuk meringankan beban pengurusan taska dan membantu proses pengoperasian mereka seperti menanggung kos disinfeksi taska atau barang-barang keperluan yang lain bagi memastikan taska dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan dan pemantauan pengoperasian taska sepanjang tempoh sekatan pergerakan dan Penyampaian Bantuan di bawah Pakej PEMULIH kepada lima taska di sini, hari ini.

Rina berkata setakat ini, kira-kira 1,101 pengusaha taska telah memohon bantuan sekali beri sebanyak RM3,000 bagi taska insititusi, taska di tempat kerja dan taska komuniti manakala RM800 untuk pengusaha taska di rumah.

“Daripada 1,101 permohonan itu, lebih 600 telah diluluskan. Kami masih membuka permohonan sehingga 31 Ogos depan dan pengusaha taska boleh memohon melalui JKM daerah atau di laman sesawang JKM.

“Proses kelulusannya tidak lama dan pengusaha taska hanya perlu menyediakan dokumen asas untuk memohon, sangat mudah,” katanya.

Hari ini Rina menyampaikan Bantuan Khas Taska kepada lima pengusaha taska iaitu masing-masing RM3,000 kepada Taska Nur Qasih Ixora, Taska Daun Biru, Taska Cahaya Permata Dengkil dan masing-masing RM800 kepada Taska di Rumah Kakak Ila dan Taska di Rumah Rose Tarmizi.