KUALA LUMPUR, 3 Ogos- Srikandi BERSATU membuat laporan polis berkaitan penularan surat yang dipercayai daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Mastura Mohamad berkata beliau meminta polis menyiasat segala sudut termasuk kemungkinan berlaku perbuatan khianat atau sabotaj yang bertujuan untuk mengganggu kestabilan kerajaan dan negara.

“Saya meminta pihak PDRM untuk menjalankan siasatan rapi bagaimana surat tersebut jika terbukti ketulinannya boleh dibocorkan dan disebarkan dengan meluas termasuk
di media sosial.

“Kami mahu kes ini disiasat dari segala sudut termasuklah kemungkinan berlaku perbuatan khianat atau sabotaj yang bertujuan untuk mengganggu kestabilan kerajaan dan negara, lebih-lebih lagi memandangkan status surat tersebut yang sudah pasti tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi.

“Kami memandang serius penularan surat ini dan menganggap ia sebagai tindakan yang amat tidak bertanggungjawab kerana boleh menimbulkan keresahan di kalangan rakyat bersabit hubungan di antara pihak Istana dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Srikandi Bersatu membuat laporan polis berhubung kebocoran surat rasmi Istana Negara di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yakin tanpa gangguan pihak-pihak yang berniat serong, sebarang isu berbangkit dapat diharmonikan berpandukan semangat saling menghormati sejajar dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, kami mengajak semua pihak untuk kembali menumpukan sepenuh perhatian dan menggembeleng segala sumber untuk bersama-sama Kerajaan memerangi pandemik Covid19 dan memulihkan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.