KUALA TERENGGANU, 3 Ogos — Kalangan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang terlibat dalam perhimpunan di sekitar ibu negara semalam perlu dikenakan tindakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan itu wajar diambil pihak berkuasa ekoran perbuatan golongan berkenaan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan termasuk menjaga penjarakan fizikal.

“Bagi saya mereka yang bersalah melanggar SOP itu perlu didenda kerana sebelum ini jika perkara sama berlaku kepada pemimpin kerajaan, mereka menuduh kita sebagai golongan kayangan.

“Jadi saya berharap tiada unsur perbezaan dalam melaksanakan undang-undang dan peraturan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan Covid-19 kepada 70 tukang gunting rambut daerah ini di kediamannya di Ajil, malam tadi.

Semalam, ahli-ahli Parlimen pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhimpun di Dataran Merdeka sebelum berarak menuju ke bangunan Parlimen.

Bagaimanapun, mereka akhirnya bersurai setelah usaha memasuki bangunan Parlimen gagal kerana dihalang oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di bulatan berhampiran Dataran Menara.

Dalam pada itu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, pembangkang kini makin terdesak kerana mereka tergugat dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menampakkan kejayaan.

“Secara umumnya mereka bimbang jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya menangani Covid-10 sekali gus mencapai sasaran 80 peratus imuniti berkelompok sebagaimana ditetapkan.

“Sebab itulah mereka cuba mencetuskan provokasi dengan menuduh kerajaan gagal dan bagi saya ini merupakan budaya yang tidak sihat kerana hak seseorang untuk menyuarakan pendapat ada batasnya walaupun Malaysia merupakan negara demokrasi,” katanya.