KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Jumlah peruntukan Bantuan Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (KKM) menunjukkan peningkatan hampir sekali ganda bagi tempoh enam bulan pertama berbanding peruntukan sepanjang tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata sebanyak RM154,631,275 bantuan itu sudah diberikan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Peruntukan bagi Bantuan Kanak-Kanak sepanjang tahun lalu pula ialah RM192,662,892,” katanya pada sidang media selepas mengunjungi rumah seorang ibu tunggal, Yusmah Yusof, 44, yang mempunyai lapan anak di Desa Pandan di sini, terkesan selepas kematian suami akibat COVID-19.

Susulan itu, Yusmah, akan mula menerima Bantuan Kanak-kanak berjumlah RM750 sebulan mulai September ini bagi menampung perbelanjaan lapan anaknya yang berusia antara sembilan hingga 20 tahun.

Daripada kunjungan itu, Yusmah turut menerima Bakul Prihatin Negara, surat tawaran Bantuan Kanak-kanak, Kotak Kasih Yayasan Kebajikan Negara, tablet untuk kegunaan pembelajaran di rumah serta bantuan tunai RM500.

Rina berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JKW) turut memberi perkhidmatan kaunseling kepada keluarga terbabit.

“Kaunseling ini diberikan kepada ibu serta anak-anaknya bagi untuk memulihkan emosi mereka yang kehilangan tempat bergantung dan pendapatan sekelip mata.

“Saya difahamkan sebelum ini arwah suaminya adalah pekerja hotel. Kehilangan tempat bergantung memberi tamparan hebat memandangkan anak-anaknya masih dalam pengajian dan di bangku sekolah,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan sokongan kaunseling itu adalah inisiatif kementerian dalam menangani impak pandemik, disebabkan ada anak kehilangan keluarga termasuk ibu bapa akibat COVID-19.

Katanya, KPWKM turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana data penuh berkenaan kematian COVID-19 diselia kementerian berkenaan selain bekerjasama dengan pemimpin masyarakat, persatuan penduduk.

“Meskipun kehilangan orang tersayang, mereka memerlukan kekuatan untuk meneruskan kehidupan mereka,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Rina berkata, dalam menangani kes anak-anak yatim piatu, perkara utama ialah melihat kalangan keluarga untuk bersama menjaga.

“Selepas itu, kita membawa sukarelawan kaunselor untuk memberi bimbingan secara berkala sehingga mereka mempunyai kekuatan meneruskan kehidupan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rina memaklumkan sebanyak 371,082 permohonan Bakul Prihatin Negara diterima dengan kira-kira 50,000 sudah diagihkan yang memberi manfaat kepada 172,239 isi rumah.